10 Hakikat Kemenangan Umat Islam Sepanjang Sejarah

Oct 13, 2024

10 Hakikat Kemenangan Umat Islam Sepanjang Sejarah

Oleh Dr Raghib Sirjani

Diolah dan diterjemah oleh Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Siapa yang bakal menggantikan kedudukan Abu al-‘Abd (Ism4il Han|yeh) hanyalah isu teknikal yang dapat diselesaikan dengan mudah.

Seperti mana dahulunya, Syeikh 4hmad Y@sin dibunuh rejim Zionis tidak dapat melumpuhkan gerakan perjuangan pembebasan Palestin, begitulah dengan kesyahidan Abu al-‘Abd. Gerakan pejuang akan terus bergerak dan berkembang dengan bantuan dan izin Allah.

Cukuplah kita mengulangi dan menghayati apa yang dinyatakan dalam al-Quran tentang sejarah, masa kini dan masa hadapan kemenangan umat Islam untuk mengambil dan mengubat kesedihan.

Hakikat Pertama: Sunnatullah Bangkit Dan Jatuh Umat Islam

Sunnatullah (Ketentuan Allah) tidak akan akan berubah. Ia tetap akan berlaku setiap masa, antara Sunnatullah yang dimaksudkan di sini adalah:

Firman Allah SWT, وَتِلۡكَ ٱلۡأَیَّامُ نُدَاوِلُهَا بَیۡنَ ٱلنَّاسِ

Terjemahannya, “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia,” (Surah Ali Imran ayat 140)

Seperti mana umat Islam hari ini melalui penderitaan dan kesusahan yang tidak terbayang akal, umat selain Islam terdahulu juga pernah mengalaminya. Seperti mana juga dahulunya umat Islam pernah menerajui zaman kegemilangan, kini giliran bangsa atau umat lain pula menerajuinya.

Tidak mustahil di masa hadapan, giliran umat Islam pula kembali gemilang... “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia,”

Hakikat kedua: Umat Islam Tetap Kekal Wujud

Umat ini, umat Islam adalah berbeza dengan umat-umat lain. Tabiat umat ini adalah ia kekal wujud di atas muka bumi. Ia mungkin dikuasai oleh kuasa asing lain, atau mungkin sengsara buat sementara waktu, tetapi ia selamanya tidak akan hilang di atas muka bumi.

Umat ini bukan seperti umat di kerajaan Parsi atau kerajaan Rom atau kerajaan para firaun atau kerajaan British atau Amerika.

Jatuhnya negara-negara ini, maka hilanglah identitinya. Umat Islam tidak! Jatuhnya khilafah al-Rasyidah, berganti dengan Khilafah al-Umawiyyah dan begitulah seterusnya.

Umat ini akan kekal wujud di atas muka bumi kerajaan umat inilah yang membawa Kalimah Pencipta yang Agung.

Sekiranya hilangnya umat ini, siapakah yang membawa hujah Allah? Siapakah yang menyaksikan kewujudan agama ini di atas bumi? Siapakah yang akan mengajar jalan hidup yang sahih dan akhlak yang jitu sekiranya hilangnya umat ini?

Tabiat umat ini adalah ia kekal wujud di atas muka bumi. Kekalnya ia adalah kebaikan untuk penduduk bumi, hilangnya maka tamatlah nyawa bumi ini.

Hakikat Ketiga: Pertempuran Antara Haq Dan Batil

Pertempuran yang berlaku hari ini bukanlah pertempuran antara kaum Muslimin dan kaum Kafir.

Hakikat pertempuran ini adalah antara Allah Azza wa Jal dan mereka memusuhi agamaNya, syariatNya dan golongan yang lemah. Pertempuran ini adalah antara Allah dan Yahudi (yang memusuhi umat Islam).

Pertempuran ini antara Allah dan mereka yang memerangi agamaNya.

Firman Allah SWT:

إِنَّهُمۡ یَكِیدُونَ كَیۡدࣰا ۝ وَأَكِیدُ كَیۡدࣰا

Terjemahannya, “Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat, Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya).” (Surah At-Tariq ayat 15 – 16),

وَإِذۡ یَمۡكُرُ بِكَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ لِیُثۡبِتُوكَ أَوۡ یَقۡتُلُوكَ أَوۡ یُخۡرِجُوكَۚ وَیَمۡكُرُونَ وَیَمۡكُرُ ٱللَّهُۖ وَٱللَّهُ خَیۡرُ ٱلۡمَـٰكِرِینَ

Terjemahannya, “Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya”. (Surah Al-Anfal ayat 30),

فَلَمۡ تَقۡتُلُوهُمۡ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ قَتَلَهُمۡۚ وَمَا رَمَیۡتَ إِذۡ رَمَیۡتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ رَمَىٰ

Terjemahannya, “Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir),...”(Surah Al-Anfal ayat 17)

Tugas umat Islam hanyalah adalah berjuang dengan mengikuti manhaj (ajaran) Islam yang sahih dan istiqamah dalam pendirian. Allah pasti akan memberikan pertolongan dan perlindungan.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ یُدَ ٰ⁠فِعُ عَنِ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ كُلَّ خَوَّانࣲ كَفُورٍ

Terjemahannya, “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur” (Surah Al-Haj ayat 38) [pembelaan Allah untuk orang-orang beriman]

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن تَنصُرُوا۟ ٱللَّهَ یَنصُرۡكُمۡ وَیُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُم

Terjemahannya, “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad ayat 7)

Dan Allah-lah, dengan KeagunganNya, KekuasaaanNya, yang mentakdirkan pertempuran ini.

Firman Allah SWT:

وَمَا قَدَرُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ قَدۡرِهِۦ وَٱلۡأَرۡضُ جَمِیعࣰا قَبۡضَتُهُۥ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ وَٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تُ مَطۡوِیَّـٰتُۢ بِیَمِینِهِۦۚ سُبۡحَـٰنَهُۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا یُشۡرِكُونَ

Terjemahannya, “Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya - pada hari kiamat – DALAM GENGGAMAN kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.” (Surah Zumar ayat 67)

Hakikat Keempat: Yakinilah Berita-Berita Gembira Dalam Al-Quran Dan As-Sunnah!

Firman Allah SWT:

وَكَانَ حَقًّا عَلَیۡنَا نَصۡرُ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ

Terjemahannya, “... dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.”(Surah Ar-Rum ayat 47)

Kalaulah tidak diturunkan ayat-ayat Al-Quran lain yang menunjukkan kepastian kemenangan untuk umat Islam selain dari ayat ini, sudah tentu telah cukup.

Firman Allah SWT dalam tempat lain:

إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا وَیَوۡمَ یَقُومُ ٱلۡأَشۡهَـٰدُ

Terjemahannya, “Sesungguhnya Kami TETAP membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman - dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)” (Surah Ghafir ayat 51)

Sebuah hadis, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Thauban RA berkata: Sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya Allah memperlihatkan kepadaku bumi (Allah menjadikan baginda SAW dapat melihat seluruh bumi), dan aku melihatkan di timurnya dan di baratnya, dan umatku akan sampai di peringkat mereka dapat memiliki bumi dari timurnya sehingga ke barat.”

Begitu banyak daripada ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang menjelaskan perkara ini. Cukuplah apabila kita dapat melihat sejarah Islam dahulu yang mana mereka dapat membuka negeri-negeri Syam, mengalahkan Rom, membuka kota konstantinopel dan sebagainya.

Hakikat kelima: Umat Islam Walaupun Bilangan Pejuangnya Sedikit

Kemenangan kita dalam sejarah hanya berlaku hanya dalam keadaan bilangan kita sedikit...

Perang Badar (perang Rasulullah dengan Quraisy Mekah), Perang Yamamah (Perangan melawan golongan murtad), perang Al-Qadisiyah (perang melawan empayar Parsi), perang Yarmouk (perang melawan Byzantine Rom), perang pembukaan Kota Al-Andalus di Sepanyol dan sebagainya banyak lagi.

Setiap kejatuhan umat Islam pasti akan diikuti dengan kebangkitan yang jauh lebih hebat. Ketika wafatnya Rasulullah SAW, hampir seluruh umat Islam di benua Arab murtad dan menyerang khalifah Abu Bakar. Adakah ini penamat agama ini?

Tidak! Berlaku peperangan untuk memerangi golongan murtad ini dan kebangkitan Islam selepas itu amatlah hebat sehingga dapat membuka negeri-negeri yang di bawah empayar Parsi dan Rum.

Jatuhnya dan lemahnya kerajaan Abbasiah di sebelah Syria dan Palestin sehingga menyebabkan Tentera Salib menguasai Al-Quds dengan begitu mudah selama 90 tahun lamanya. Kemudian bangkit semula umat Islam dengan pimpinan Salahuddin Al-Ayubi dan tentera yang hebat dan beriman kepada Allah.

Jatuhnya kerajaan Al-Andalus yang telah memerintah selama 800, bangkitnya pula kerajaan Uthmaniah. Tidaklah terbenamnya cahaya Islam di barat Eropah melainkan telah terbit cahaya Islam di timurnya.

Dan begitulah, setiap kali umat jatuh, ia pasti akan diikuti dengan kemenangan Islam.

Hakikat Keenam: Akui Mubasyirat (Berita-Berita Baik)

Apa yang berlaku dalam umat Islam bukanlah semuanya yang buruk-buruk sahaja. Tidakkah anda melihat pada hari ini kesedaran masyarakat awam tentang Palestin telah jauh meningkat?

Tidakkah anda perasan berapa ramai wanita yang memakai tudung dan memasuki Islam sangat ramai jika dibandingkan 30 tahun dahulu? Berapa banyak negara Islam yang dahulu berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus tahun dijajah oleh negara-negara barat kini telah bebas.

Berapa bandar-bandar di Eropah hari menjadi dilaungkan azan setiap kali masuk waktu solat? Tidakkan komuniti Islam hari ini menjadi normal di negara-negara bukan Islam disebabkan pertambahan bilangan yang banyak?

Tidakkah anda melihat masyarakat Eropah dan Amerika hari ini, walaupun tidak beriman, tetapi mereka semakin sedar dan mengakui jenayah yang dilakukan oleh Zionis Israel? Bahkan perjuangan mereka lebih hebat berbanding setengah negara Islam dari segi kelantangannya, boikotnya dan sebagainya. Setakat sepuluh bulan ini, Ireland, Norway dan Spanyol telah mengiktiraf Palestin.

Selain itu, banyak entiti telah henti membiayai negara rejim Zionis daripada segi ketenteraan, penempatan haram dan sebagainya. Seperti universiti-universiti di Eropah dan Amerika Syarikat. Ia adalah kesan daripada tekanan hebat daripada pelajar-pelajar di sana.

Rakyat Palestin pula, tidak pernah mengalah bahkan bertambah semangat juang mereka. Bandingkan penduduk Yahudi pula, sekitar setengah juta telah meninggalkan negara haram Zionis buat selama-lamanya dan sekitar 30% menolak perkhidmatan ketenteraan. Ditambah pula setiap minggu berlaku demonstrasi besar-besaran bagi menekan kerajaan.

Sangat banyak berita gembira yang mungkin anda sendiri tidak perasan.

Hakikat Ketujuh: Kemenangan Allah Tidak Akan Datang Kecuali Selepas Saat-Saat Getir

Sekiranya anda melihat kezaliman dan penindasan semakin dahsyat, ketahuilah bahawa bantuan semakin hampir.

Firman Allah SWT:

أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُوا۟ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا یَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِینَ خَلَوۡا۟ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَاۤءُ وَٱلضَّرَّاۤءُ وَزُلۡزِلُوا۟ حَتَّىٰ یَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ

Terjemahannya“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?

Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya:

Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?"

Jawab Allah SWT:

أَلَاۤ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِیبࣱ

“Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah Al-Baqarah ayat 214)

Hakikat Kelapan: Jangan Terburu-Buru Meminta Kemenangan, Ada Banyak Hikmah Tersirat Yang Kita Tidak Tahu

Ketahuilah antara adab kita dengan Allah SWT adalah tidak terburu-buru dalam meminta sesuatu. Hikmah Allah SWT tetap dalam ujian yang diberikan kepada hamba-hambaNya. Hanya Allah SWT bilakah kemenangan itu sampai kepada orang Islam.

Hakikat Kesembilan: Kemenangan Tidak Datang Kecuali Dengan Keyakinan Terhadapnya

Keyakinan tidak sama dan tidak boleh bercampur dengan keraguan...

Firman Allah SWT:

من كَانَ یَظُنُّ أَن لَّن یَنصُرَهُ ٱللَّهُ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِ فَلۡیَمۡدُدۡ بِسَبَبٍ إِلَى ٱلسَّمَاۤءِ ثُمَّ لۡیَقۡطَعۡ فَلۡیَنظُرۡ هَلۡ یُذۡهِبَنَّ كَیۡدُهُۥ مَا یَغِیظُ

Terjemahannya, “Sesiapa yang menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan menolong Nabi Muhammad dalam dunia ini dan di akhirat kelak, maka hendaklah ia menghulurkan tali (serta mengikatnya) di bumbong rumahnya, kemudian hendaklah ia menjerut lehernya (supaya ia mati tercekik); dalam pada itu hendaklah ia memikirkan lebih dahulu, adakah tipu dayanya itu dapat menghapuskan sebab-sebab yang menimbulkan kemarahannya?”

Hakikat Kesepuluh: Pahala Tidak Terikat Dengan Kemenangan, Tetapi Dengan Usaha

Semakin baik usaha anda, semakin besar ganjaran yang anda perolehi, semakin kuat hebat usaha anda, semakin banyak pahala yang anda dapat...

Ketahuilah, sekiranya bukan andalah yang melihat kemenangan itu dengan mata anda, anak cucu andalah yang akan melihatnya.

Jadi, ini sepuluh hakikat yang anda wajib anda fahami. Kalau difahami dengan baik, akan hilanglah segala perasaan putus asa dan mengaku kalah. Dengan memahami sepuluh hakikat, Palestin pasti akan bebas dan menang, insyAllah.