Kembali
5 Sebab Mengapa Hamas Pilih Yahya Sinwar Sebagai Ketua Biro Politik Yang Baharu
Khalid bin Jimat
Aug 9, 2024
Pelantikan Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik Hamas yang baru menggantikan as-Syahid Ismail Haniyeh telah mengejutkan banyak pihak.
Sebahagian besar menjangkakan Khalid Meshaal akan diangkat semula ke jawatan tersebut.
Sebahagian yang lain membayangkan Khalil al-Hayya, yang mengetuai rundingan gencatan senjata bagi pihak Hamas, sebagai seorang lagi calon yang layak menggantikan Haniyeh.
Yahya Sinwar, arkitek kepada Operasi Taufan al-Aqsa, tiada dalam bayangan banyak pihak.
Antara sebabnya ialah kerana beliau berada di dalam Gaza. Rundingan gencatan senjata pasti lebih rumit sekiranya beliau sukar untuk dihubungi. Tambahan pula, tiada banyak maklumat tentang keadaan semasa beliau. Beliau tidak memunculkan diri sejak 7 Oktober 2023.
Selain daripada itu, banyak pihak melihat Sinwar sebagai sosok yang keras berbanding Khalid Meshaal atau Khalil al-Hayya yang dilihat lebih diplomatik. Mereka merasakan Sinwar bukan pilihan terbaik buat masa ini, ketika rakyat Palestin di Gaza amat-amat memerlukan gencatan senjata untuk menghentikan genosid yang sedang berlaku.
Pun begitu, mungkin banyak pihak terlupa bahawa Sinwar sebenarnya adalah pemutus utama kepada mana-mana rundingan gencatan senjata yang akan berlaku kerana beliaulah yang sedang memimpin Gaza pada ketika ini. Tanpa persetujuan Sinwar, mustahil syarat-syarat gencatan senjata dapat dilaksanakan. Tawanan yang ingin ditukar dengan tahanan Palestin berada di Gaza. Pintu-pintu sempadan untuk kemasukan bantuan kemanusiaan juga terletak di Gaza.
Mereka juga mungkin terlupa bahawa Sinwar telah pun bersetuju dan melaksanakan gencatan senjata yang pertama dengan penuh tertib pada bulan November yang lalu. Gencatan senjata tersebut menyaksikan 105 orang tawanan berjaya ditukar dengan 240 orang tahanan Palestin dari kalangan wanita dan kanak-kanak serta kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza ditingkatkan.
Malangnya gencatan senjata ini hanya bertahan selama seminggu selepas rejim Zionis memulakan semula serangan. Barangkali Netanyahu tidak tahan melihat klip-klip video pejuang Palestin yang tular yang memaparkan ketinggian akhlak mereka melayan tawanan dengan baik dan penuh ihsan. Ini bertentangan dengan naratif pihak rejim yang menuduh pejuang Palestin sebagai pengganas.
Kalau kita undur lagi ke belakang lagi sebelum gencatan senjata tersebut, kita akan dapati Sinwar adalah orang pertama yang mengeluarkan kenyataan terbuka menyatakan kesediaan Hamas untuk melaksanakan gencatan senjata dan pertukaran tawanan. Untuk membuktikan kebenaran dan keikhlasan beliau, Hamas telah membebaskan empat orang tawanan secara unilateral tanpa sebarang syarat.
Justeru, dakwaan Sinwar adalah seorang individu yang keras dan tidak mampu berkompromi sebenarnya jauh daripada kebenaran. Sebaliknya beliau adalah seorang pemimpin yang tegas dan berani. Beliau mahukan yang terbaik untuk Gaza. Individu yang menjadi batu penghalang kepada gencatan senjata sejak dari awal bukan Sinwar tetapi Benjamin Netanyahu!
Tapi apa yang menyebabkan Hamas memilih Sinwar berbanding Khalid Meshaal atau Khalil al-Hayya? Berikut adalah antara sebab mengapa Sinwar dipilih untuk mengetuai Hamas hari ini menurut pandangan penulis.
Pertama, tanggungjawab terbesar kepada ketua Hamas yang baru ialah melaksanakan gencatan senjata. Dan seperti yang telah disebutkan, figura utama yang perlu memberi kata putus kepada gencatan senjata ini ialah Sinwar kerana beliau ada pemimpin de facto di Gaza pada ketika ini. Pelantikan Sinwar akan memastikan perkara ini menjadi keutamaan nombor wahid Hamas.
Kedua, pemilihan Sinwar mengembalikan pusat kepimpinan Hamas ke Gaza. Ini amat-amat diperlukan oleh Gaza pada ketika ini bagi menunjukkan kebersamaan pemimpin bersama rakyat. Apalagi Sinwar adalah anak kelahiran tempatan dari daerah Khan Younis.
Ketiga, pemilihan Sinwar menunjukkan Hamas memberikan kepercayaan penuh kepada beliau untuk memimpin fasa penentangan pada ketika ini. Beliau yang memulakan Operasi Taufan al-Aqsa dan pemilihan ini memberikan beliau peluang untuk memimpin operasi ini sehingga tamat.
Keempat, pemilihan ini menutup cakap-cakap yang mendakwa ada retak di dalam saf kepimpinan Hamas. Sebelum ini media barat heboh menyebar cerita pertembungan antara Kem Haniyeh dan Kem Sinwar. Kem Haniyeh dikatakan cenderung kepada gencatan senjata demi kebajikan penduduk Gaza manakala Kem Sinwar bersedia untuk terus bertempur kerana rejim Zionis sememangnya tidak pernah cenderung kepada gencatan senjata.
Hakikatnya, kedua-dua pertimbangan ini diambil-kira oleh seluruh saf kepimpinan Hamas. Masing-masing cuba mencari formula terbaik untuk mengimbangi antara kebajikan rakyat dan kepentingan untuk meneruskan penentangan. Gencatan senjata yang bertujuan untuk memaksa Hamas menyerah kalah, meninggalkan Gaza dan menamatkan perjuangan sama sekali tidak akan diterima oleh mana-mana pemimpin Hamas sekalipun.
Kelima, pemilihan Sinwar mengukuhkan lagi fasa baru penentangan. Sejak Operasi Saif al-Quds pada Mei 2021, Hamas sebenarnya telah pun mewar-warkan fasa baru penentangan. Fasa ini menyaksikan Hamas tidak lagi sekadar bertahan dan membiarkan rejim Zionis memiliki inisiatif dalam setiap pertempuran. Sebaliknya, fasa ini menyaksikan Hamaslah yang memulakan inisiatif penentangan.
Ini boleh dilihat melalui Operasi Saif al-Quds (2021) dan Operasi Taufan al-Aqsa (2023) yang menyaksikan Hamas menjadi entiti yang memulakan serangan dan bukan sebaliknya. Kedua-dua operasi ini dipimpin oleh tidak lain dan tidak bukan Yahya Sinwar.
Justeru, pelantikan Sinwar adalah langkah menuju masa hadapan untuk Hamas, Gaza dan seluruh perjuangan Palestin. Kepimpinan Sinwar adalah kesinambungan kepimpinan Ismail Haniyeh sepertimana yang beliau sebutkan beberapa bulan yang lalu sempena Operasi Taufan al-Aqsa:
“Aku katakan, penentangan kita ke atas penjajah Zionis telah memasuki fasa baru dalam semua aspek - inisiatif, menegakkan fakta, mencipta peluang, menuntut kembali hak-hak, mencipta kemenangan. Semua ini hari ini berada di tangan kita dan bukan lagi di tangan musuh!”
“Sebab itu aku mengisytiharkan hari ini kepada semua rakyat Palestin: Wahai rakyat kami, bersedialah pada tahap kesediaan yang paling tinggi. Pertempuran telah bermula dan ia akan dilawan dengan darah dan api, dengan kemuliaan dan senjata.”
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh Syurga, disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah. Maka di antara mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 111)