50 Hari Taufan al-Aqsa: Apa Nasib Gaza?

Oct 13, 2024

Memasuki hari ke-50 operasi ketenteraan rejim Zionis ke atas Gaza, lima kesimpulan awal boleh dibuat berdasarkan perkembangan setakat ini.

PERTAMA, rejim Zionis kelihatan bersedia untuk melakukan jenayah penghapusan etnik sepertimana yang dilakukan oleh pengasas negara Israel pada tahun 1948.

Jenayah yang selama ini hanya mampu dibayangkan melalui gambar-gambar lama, kisah-kisah yang dicatatkan di dalam buku dan memoar atau rakaman temuramah pelarian Palestin yang menjadi saksi hidup tragedi an-Nakba 1948, hari ini terpampang di hadapan mata kita semua.

Jika ada yang masih kabur tentang apa yang berlaku pada tahun 1948, apa yang anda saksikan di Gaza pada hari ini adalah replika kepada tragedi tersebut yang menyebabkan pembunuhan dan pengusiran lebih 750,000 rakyat Arab Palestin 75 tahun yang lalu.

Bezanya, kali ini ia berlaku dalam tempoh yang lebih singkat dan pada skala yang lebih besar dan dahsyat kerana melibatkan lebih 2 juta penduduk Gaza serta senjata dan bom yang lebih berat.

Pun begitu, yang memungkinkan jenayah ini berlaku adalah sokongan tidak berbelah bahagi Presiden Biden, Presiden Emmanuel Macron, Perdana Menteri Rishi Sunak dan Presiden Ursula von der Leyen kepada Benjamin Netanyahu untuk ‘membalas’ serangan 7 Oktober yang telah memalukan sistem pertahanan Israel dan meruntuhkan dasar cegah-rintang (deterrence) mereka. Tanpa lampu hijau daripada pemimpin-pemimpin hampir mustahil Netanyahu akan berani bertindak seperti hari ini.

KEDUA, negara-negara Arab dan Islam jelas belum cukup bersedia untuk mempertaruhkan kepentingan negara masing-masing untuk membela nasib rakyat Palestin. Gaza terus dibiarkan berseorangan menghadapi serangan udara, darat dan laut rejim Zionis tanpa sebarang perlindungan yang sewajarnya; baik perlindungan tentera, politik mahupun perlindungan undang-undang antarabangsa.

Sidang Kemuncak Tergempar Liga Arab dan OIC pada 11 November lalu gagal membuahkan resolusi yang konstruktif untuk segera menghentikan serangan rejim Zionis; sungguhpun angka korban pada ketika itu sudah pun mencecah 11,000 orang. 31 resolusi yang diluluskan sekadar merakam pelbagai kecaman ke atas Israel, membuat pelbagai tuntutan kepada PBB dan agensi-agensinya serta menegaskan pendirian yang sudah pun diketahui umum.

Seruan ke arah tindakan yang lebih tegas seperti menyekat bekalan bahan api, memutuskan hubungan diplomatik dan hubungan dagang dengan Israel serta kemungkinan memberikan bantuan atau perlindungan ketenteraan ke atas Gaza dikesampingkan begitu sahaja.

KETIGA, propaganda rejim Zionis bahawa Israel adalah mangsa keganasan Hamas dan serangan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza adalah semata-mata untuk mempertahankan diri semakin sukar diterima oleh komuniti antarabangsa. Bandar-bandar utama dunia menyaksikan protes besar-besaran menuntut supaya genosid di Gaza segera dihentikan.

Protes di London pada 12 November dihadiri lebih 750,000; yang terbesar sejak protes ke atas serangan di Iraq pada tahun 2003. Protes di Stesen Grand Central New York bahkan diketuai sendiri oleh aktivis berbangsa Yahudi di Amerika Syarikat - Jewish Voice for Peace (JVP).

Keadaan lebih buruk di dunia maya. Media sosial dibanjiri dengan kandungan pro-Palestin sehingga menenggelamkan kandungan oleh media tradisional yang secara tradisinya pro-Israel. Sokongan kepada Palestin begitu ketara di kalangan generasi muda (Gen-Z) yang lebih dekat dengan media sosial.

Terbaru, cubaan Zionis untuk menguasai semula naratif melalui video propaganda yang mendedahkan penemuan senjata di Hospital al-Shifa dan al-Rantissi bertukar kepada mimpi ngeri selepas propaganda mereka dibaraikan dengan begitu bersahaja oleh Gen-Z dalam tempoh kurang 24 jam.

KEEMPAT, retorik operasi ketenteraan Zionis untuk menghapuskan Hamas dan menyelamatkan rakyat Israel yang ditawan kelihatan semakin hari semakin memakan diri. Selepas hampir sebulan memulakan operasi darat di Gaza, Hamas masih kuat bertahan dan masih mampu melancarkan roket ke dalam wilayah Israel. Bahkan, Hamas dikatakan berjaya memusnahkan lebih 300 kereta kebal dan kenderaan berperisai tentera Zionis selain membunuh lebih 70 tenteranya.

Tindakan tentera Zionis mengebom, mengepung dan menawan beberapa hospital di bandar Gaza - Hospital al-Rantissi, Hospital al-Quds dan Hospital al-Shifa, meningkatkan lagi tekanan ke atas diri mereka sendiri. Bukan sahaja mereka gagal membuktikan Hamas menggunakan hospital sebagai pusat operasi, propaganda mereka kini menjadi bahan lawak jenaka yang membunuh kredibiliti ketenteraan mereka.

Kegagalan menyelamatkan para tawanan menyebabkan keluarga para tawanan menjadi semakin hilang sabar. Protes yang awalnya kecil menjadi begitu besar dalam tempoh singkat. Ahli keluarga tawanan, rakan-rakan dan para penyokong mereka bahkan melakukan perarakan dari Tel Aviv ke bangunan parlimen di Baitulmaqdis Barat mendesak supaya Netanyahu menerima tawaran Hamas untuk menukar tawanan di Gaza dengan rakyat Palestin yang dipenjarakan dalam penjara Israel.

KELIMA, Hamas berjaya mengotakan salah satu janjinya dalam Operasi Taufan al-Aqsa untuk membebaskan rakyat Palestin yang dipenjarakan dengan zalim oleh rejim Zionis melalui pertukaran tawanan.

Ketika artikel ini ditulis, pemberhentian sementara serangan (humanitarian pause) telah dipersetujui antara Hamas dan rejim Zionis melalui perantaraan Qatar dan Mesir. Persetujuan ini melibatkan pemberhentian serangan selama 4 hari bermula Jumaat, 24 November, jam 7 pagi waktu tempatan, kemasukan bantuan kemanusiaan ke dalam Gaza dan pertukaran 50 orang rakyat Israel yang ditawan dengan 150 orang rakyat Palestin yang ditahan dalam penjara Israel khususnya wanita dan kanak-kanak.

Menurut statistik Addameer, terdapat 62 orang tahanan wanita dan 200 orang tahanan kanak-kanak di dalam penjara Israel. Majoriti ditahan secara zalim tanpa sebarang perbicaraan. Pertukaran ini hampir pasti akan memberikan kelegaan kepada ahli keluarga tahanan yang sebelum ini buntu bagaimana mahu membebaskan mereka.

Pertukaran ini jelas menunjukkan Hamas kini berada di posisi terbaik untuk keluar daripada serangan kali ini dengan kemenangan. Walaupun serangan mungkin akan disambung semula selepas 4 hari, ini peluang keemasan Hamas untuk membuktikan kepada dunia bahawa wujud pilihan lain selain peperangan untuk membebaskan tawanan. Ini akan memberikan tekanan kepada Zionis untuk melanjutkan tempoh pemberhentian serangan dan mengheret mereka ke meja rundingan.

Dalam tempoh bertenang tersebut, Hamas boleh menyusun semula pergerakan dan kekuatan mereka untuk berdepan dengan serangan rejim Zionis yang seterusnya sekiranya Israel bertegas untuk menghapuskan kumpulan itu. Kejayaan mereka mengekang operasi darat rejim Zionis setakat ini membuktikan mereka benar-benar telah membuat persiapan untuk bertempur dengan tentera rejim secara berdepan.

Tentera Zionis sebaliknya berdepan risiko kehilangan momentum dan legitimasi serangan kerana tawanan telah pun dibebaskan. Ini diburukkan lagi dengan kegagalan mencipta sebarang kejayaan yang bermakna sepanjang sebulan operasi darat. Apalagi mereka belum pun lagi berdepan cabaran berperang di dalam terowong yang dijangka jauh lebih mencabar dan lebih berbahaya.

Yang pasti Israel tidak mampu berperang untuk satu tempoh yang panjang. Rakyat, ekonomi dan politik mereka tidak mampu menyerap tekanan perang untuk satu tempoh yang begitu lama. Kecuali pada Perang Arab-Israel 1948, perang paling lama yang Israel lalui adalah pada tahun 2014 selama 50 hari.

Dalam waktu yang sama, rakyat Palestin masih meneruskan perjuangan mereka sungguh pun kebarangkalian bahkan dunia tidak berpihak kepada mereka. ‘Sumud’ mereka hari ini begitu mengujakan sehingga anak-anak muda di Eropah hari ini terinspirasi untuk membuka al-Quran untuk mencari sumber kekuatan mereka.

Roda sepertinya sudah mula berputar. Kebatilan akan ditumbangkan. Keadilan akan ditegakkan. Dan Allah akan menentukan segalanya pada ketika dan waktu yang paling tepat; menurut kehendak dan kemahuanNya.