‘Airdrop’ Bukan Penyelesaian Tuntas Buat Gaza

Oct 13, 2024

Minggu lepas Tentera Udara Diraja Jordan (RJAF) berjaya laksanakan operasi menjatuhkan 33 tan bantuan kemanusiaan di Gaza. Operasi ini dapat liputan meluas media antarabangsa. Rakaman gerombolan penduduk Gaza berlari dan menyerbu bantuan yang jatuh tular di semua platform media sosial. Menderu-deru netizen puji tindakan kerajaan Jordan.

Ini bukan kali pertama. Jordan sebenarnya telah berjaya laksanakan operasi sama sekurang-kurangnya tiga kali sejak 7 Oktober. Kali pertama pada 6 November 2023. Kali kedua pada 12 November 2023. Kali ketiga pada 5 Januari 2024. 

Bezanya, sebelum ini hanya bantuan perubatan dapat dijatuhkan. Bantuan pula terhad kepada bekalan untuk Jordan Field Hospital di bandar Gaza. Kali ini, selain bantuan perubatan, bantuan makanan juga dapat dijatuhkan. Jumlah bantuan yang berjaya dijatuhkan juga jauh lebih besar berbanding operasi-operasi sebelum ini. 

Lebih istimewa operasi kali ini turut disertai oleh Raja Jordan sendiri, Raja Abdullah II. Baginda bahkan berjaya menarik sokongan Perancis, Mesir, Qatar dan UAE untuk turut serta dalam operasi kali ini. Jordan hantar 3 pesawat. Negara-negara yang lain masing-masing menghantar satu pesawat. 

Mungkin ada yang bertanya, kenapa baru sekarang nak gugurkan bantuan? Kenapa bukan dua atau tiga bulan lepas; ketika kita dapat khabar sudah ada penduduk Gaza yang kebuluran sehingga ada yang terpaksa makan dedak haiwan ternakan? Atau paling tidak selepas ICJ putuskan yang Israel perlu benarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza pada 26 Januari lalu?

Jawapan mudahnya kerana Israel benarkan. Semua ini tidak mungkin akan berlaku tanpa restu dan kebenaran Israel. Israel kuasai sepenuhnya laluan masuk ke Gaza baik dari darat, laut dan udara; kecuali sebahagian kecil laluan yang bersempadan dengan Mesir.

Tapi kenapa pula Israel tiba-tiba benarkan operasi ini berlaku? Apa yang membuatkan Israel terpaksa berikan kebenaran? Jawapan mudahnya kerana abang long mereka, Amerika Syarikat (US) paksa supaya Israel beri kebenaran. Tapi kenapa US tiba-tiba paksa Israel beri kebenaran?

Kalau perasan dua hari sebelum ‘airdrop’ ini berlaku, seorang tentera udara Amerika Syarikat (US), Aaron Bushnell, 25 tahun telah ambil tindakan nekad membakar dirinya di hadapan kedutaan Israel di Washington DC sebagai tanda protes kepada tindakan US menyokong kekejaman Israel di Gaza.

“Saya akan lakukan protes yang paling ekstrem. Tetapi jika dibandingkan dengan apa yang dialami oleh penduduk di Palestin di tangan penjajah mereka, tindakan ini tidak melampau sama sekali,” kata beliau sebelum menuang petrol di batang tubuh dan membakar dirinya.

Aksi Bushnell dirakam secara langsung oleh beliau sendiri. Rakaman beliau membakar diri sambil menjerit ‘Free Palestine” tular dalam waktu yang singkat sekaligus memberi tekanan kepada US.

Justeru, bagi menutup isu ini dan mengelak daripada tercetusnya protes yang lebih besar, ‘airdrop’ ini dibenarkan. Dalam sekelip mata media sosial dibanjiri dengan rakaman berkaitan ‘airdrop’ dan naratif positif tentang bantuan berjaya disalurkan kepada lebih setengah juta penduduk Gaza yang kebuluran. Kemarahan dunia sedikit reda selepas disuntik dengan dopamine ‘airdrop’.

Mereka merancang. Tuhan yang menentukan. Dengan tak semena-mena berlaku satu lagi insiden. Kali ini tentera Israel sendiri yang membuat onar. Mereka lepaskan tembakan ke arah penduduk Gaza yang mengerumuni trak-trak yang membawa bantuan masuk ke utara Gaza menyebabkan lebih 100 orang terkorban.

Nah, kali ini US sendiri yang terpaksa lakukan ‘airdrop’ untuk tutup jenayah Israel. Mereka jatuhkan 38,000 pek makanan pada hari Sabtu (2 Mac). Mereka turut beri bayangan untuk ulangi langkah sama dalam waktu terdekat.

Tamer Qarmout, Profesor di Doha Institute menyelar ‘airdrop’ ini sebagai wayang dan ‘PR stunt’ untuk menunjukkan US dan pemimpin dunia seolah-olah sedang melakukan sesuatu. Hakikatnya mereka sekadar mahu menutup malu selepas gagal mendesak Israel supaya menghentikan serangan.

“US desak Israel supaya benarkan ‘airdrop’ untuk mengelak daripada dituduh melakukan jenayah genosid. Jika dituduh, mereka ada alasan bahawa ‘airdrop’ ini dilakukan hasil kerjasama Israel,” sindir Profesor Qarmout.

Bushra Khalidi, Ketua Polisi Oxfam pula menyifatkan ‘airdrop’ sebagai kaedah bantuan yang paling tidak efisien dan tidak efektif selain menelan kos yang sangat tinggi. Ia adalah pilihan terakhir dalam mana-mana operasi bantuan kemanusiaan. 

“Sekiranya ‘airdrop’ terpaksa juga dilakukan, ia akan dilakukan dengan koordinasi pasukan di lapangan yang akan menyambut bantuan yang digugurkan dan mengurus penyalurannya dengan sistematik. Bukan seperti apa yang berlaku pada hari ini,” tegas Bushra.

Menggugurkan bantuan seperti yang berlaku pada hari ini sebenarnya adalah satu bentuk penghinaan kepada penduduk di Gaza. Tanpa kawalan di lapangan, penduduk terpaksa berebut bantuan. Yang kuat akan dapat. Yang lemah akan terlepas. Ini boleh mencetuskan pergaduhan dan kekacauan. Dah macam ‘hunger games’ pula.

Langkah yang sepatutnya diambil oleh US dan negara-negara di dunia ialah menekan Israel supaya membuka pintu sempadan dengan seluas-luasnya dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk tanpa sekatan. Jaminan keselamatan juga perlu diberikan kepada petugas kemanusiaan yang bertugas.

Ketika ini pintu sempadan di utara - Pintu Erez, masih ditutup oleh Israel. Walhal jika pintu ini dibuka, bantuan ke utara Gaza boleh disalurkan dengan segera tanpa perlu ‘airdrop’. ‘Airdrop’ 33 tan yang dijatuhkan oleh Jordan baru-baru ini boleh dimuatkan dalam satu trak. Kalau 100 trak dibenarkan masuk sehari, 100 kali ganda bantuan sebenarnya boleh dibawa masuk.

Pintu sempadan di selatan Gaza - Pintu Karem Abu Salem, telah dibuka tetapi jumlah trak yang dibenarkan masuk akhir-akhir ini semakin susut. Daripada purata 100 trak sehari kini sudah turun ke 40 trak sehari. Pintu dibuka tapi kawalan semakin diperketat. Kalau sekatan ini boleh diangkat, ‘airdrop’ tidak relevan lagi.

Malangnya US dan negara-negara ini tiada kehendak politik yang kuat untuk mendesak Israel. Mereka sekadar bermain wayang sementara menunggu Israel mencapai matlamatnya dalam perang ini atau setidak-tidaknya sehingga Israel puas hati. Entah berapa ramai lagi kanak-kanak Gaza perlu dikorbankan sebelum mereka bertindak.

Yang pasti laporan terbaru PBB bahawa 576,000 penduduk Gaza kini berada pada tahap kebuluran yang kritikal (IPC 5), 90% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun diancam penyakit berjangkit dan 58,000 orang lagi dijangka akan terkorban dalam 6 bulan akan datang sekiranya perang tidak dihentikan belum cukup untuk dijadikan alasan untuk mereka bertindak.