Kembali

Analisis Serangan Iran Ke Atas Israel

Khalid bin Jimat

Oct 15, 2024

Baru-baru ini, Iran telah melancarkan serangan udara ke atas Israel. Serangan yang diberi nama ‘Operasi Wa’d as-Sadiq 2’ itu dilancar menggunakan 180-200 peluru berpandu balistik ke atas beberapa pangkalan tentera udara Israel, ibu pejabat Mossad, dan beberapa lokasi penting tentera rejim.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata serangan tersebut adalah tindak balas terhadap pembunuhan Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah dan Komander IRGC, Abbas Nilforoushan pada 27 September di Beirut, serta pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh pada 31 Julai di Tehran.

Dalam kicauan beliau di X, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi berkata serangan tersebut adalah tindakan “bela diri” negara itu sesuai dengan “Artikel 51 Piagam PBB.” 

Artikel tersebut menyebutkan: “Tiada apa-apa pun dalam Piagam ini boleh menjejaskan hak individu atau kolektif Anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mempertahankan diri sekiranya berlaku serangan bersenjata ke atas mereka sehingga Majlis Keselamatan mengambil langkah yang perlu untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.”

Araghchi juga mempertahankan legitimasi serangan tersebut yang hanya mensasarkan “tapak tentera dan keselamatan yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan Lubnan.”

Serangan telah menyebabkan siren bergema di seluruh Israel dan jutaan penduduk bertempiaran mencari tempat perlindungan. Ini serangan kedua Iran ke atas Israel selepas serangan pertama pada 13 April lalu.

"Iran telah membuat kesilapan besar malam ini," kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataan beliau sejurus serangan tamat. 

“Iran tidak memahami keazaman kami untuk membalas dendam terhadap musuh kami… Mereka akan faham (nanti). Sesiapa yang menyerang kami, kami pasti akan membalasnya," tegas Netanyahu.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant juga berikrar akan membalas dendam. “Mereka yang menyerang negara Israel akan membayar harga yang mahal,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesan Serangan

IRGC mendakwa 90% daripada peluru berpandu yang dilancarkan berjaya mengenai sasaran. Serangan didakwa mengenai pangkalan udara Nevatim, Hatzerim dan Tel Nof, kereta kebal Israel di Netzarim (koridor tentera Israel di tengah Gaza), dan loji  gas di Ashkelon, utara Gaza. Serangan juga didakwa berjaya memusnahkan beberapa pesawat F-35 dan radar pemintas peluru berpandu Arrow 2 dan Arrow 3 Israel.

Institute for the Study of War (ISW) dalam laporannya menyebutkan beberapa peluru berpandu turut dikesan jatuh berhampiran Pusat Perisikan Glilot dan ibu pejabat Mossad di Herzliya, utara Tel Aviv serta ibu pejabat Shin Bet di Ramat Gan, timur Tel Aviv.

The Jerusalem Post melaporkan kerosakan di beberapa lokasi awam di Israel - 1,000 buah rumah di Hod Hasharon, sebuah bangunan komersial di utara pantai Tel Aviv, sebuah sekolah di Gedera, dan infrastruktur elektrik di Beersheba. Kerosakan dipercayai akibat serpihan peluru berpandu yang jatuh ditembak oleh Israel.

Serangan dilapor menyebabkan seorang rakyat Palestin terbunuh dan dua orang rakyat Israel cedera. Rakyat Palestin yang terbunuh di Jericho, Tebing Barat dilaporkan terkena serpihan peluru berpandu yang dipintas.

Jurucakap Tentera Israel, Daniel Hagari berkata “majoriti” peluru berpandu yang dilancarkan berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Israel dan kapal pemusnah tentera laut Amerika Syarikat (US) - USS Cole dan USS Bulkeley, yang berada di laut Mediterranean. Hagari walau bagaimanapun tidak menyatakan berapakah jumlah peluru berpandu yang dapat dipintas seperti yang pernah didedahkan ketika serangan Iran pada bulan April.

April lalu Israel mendakwa 99% dron dan peluru berpandu yang Iran lancarkan telah berjaya dipintas. Kali ini Hagari memilih untuk tidak mendedahkan. Alasannya untuk mengelak “memberi maklumat percuma kepada Iran dan Hizbullah” yang boleh membantu mereka mengesahkan keberkesanan serangan yang dilancarkan.

Pun begitu, Hagari mengakui beberapa pangkalan udara entiti Zionis itu telah disasarkan. Ini sesuai dengan video-video yang tular yang menunjukkan pangkalan udara Nevatim dan Tel Nof dihujani dengan peluru-peluru berpandu Iran. Beliau walau bagaimanapun menafikan ada senjata, pesawat atau infrastruktur kritikal tentera yang musnah. Keupayaan tentera udara Israel untuk terus beroperasi juga didakwa tidak terjejas.

Analisis Serangan

Professor Jeffrey Lewis dari Middlebury Institute for International Studies, California, Decker Eveleth dari Center for Naval Analyses (CAN) dan pasukan dari Center for Nonproliferation Studies (CNS) dalam satu analisis menggunakan imej satelit mengesahkan sekurang-kurangya 33 peluru berpandu Iran telah jatuh dalam parameter pangkalan tentera Nevatim, salah satu pangkalan tentera yang disasarkan.

Peluru-peluru ini telah menyebabkan kerosakan pada satu hangar dan tiga bangunan lain di pangkalan tentera tersebut termasuk satu bangunan yang menempatkan pesawat F-35. Peluru-peluru lain tersasar -  sama ada mengenai laluan di antara bangunan, landasan (yang tidak menjejaskan penerbangan pesawat), atau kawasan lapang di sekitar pangkalan tentera. Tiada pesawat F-35 yang musnah seperti didakwa media Iran.

Mengulas persoalan mengapa tidak banyak kerosakan dapat dilihat walaupun banyak peluru berpandu yang jatuh, Eveleth berkata Israel sebenarnya ‘sangat-sangat bernasib baik.’ Sukar untuk mengatakan Iran sengaja mengelak daripada mengenai sasaran. Pada waktu yang sama sukar untuk mengatakan Israel sengaja membiarkan peluru-peluru berpandu ini ‘terlepas’ kerana tahu ia akan tersasar walhal margin kesilapan hanyalah sekitar 5 meter sahaja.

Setakat artikel ini ditulis belum ada analisis dan pengesahan imej satelit terhadap kesan serangan Iran ke atas pangkalan tentera Tel Nof sepertimana analisis serangan ke atas pangkalan tentera Nevatim. Video yang tular menunjukkan pangkalan tentera itu turut dihujani peluru berpandu Iran. Bahkan video menunjukkan terdapat letupan kedua selepas peluru berpandu jatuh.

Berkemungkinan besar kita tidak akan memperoleh sebarang analisis terhadap kesan serangan di Tel Nof dan di lokasi-lokasi yang lain kerana kerajaan Israel sedang berusaha keras menghalang sebarang maklumat daripada bocor kepada khalayak umum. Setakat 9 Oktober, 5 orang wartawan antarabangsa yang membuat liputan tentang kesan serangan Iran ke atas Israel telah ditahan atas dakwaan “memberi maklumat kepada musuh dan membantu musuh ketika perang.”

Pun begitu, analisis serangan ke atas Nevatim jelas membuktikan Iran mempunyai keupayaan untuk menembusi pertahanan Israel dan mensasarkan aset-aset ketenteraan yang kritikal seperti pangkalan tentera. Teknologi penangkis peluru berpandu Israel yang berlapis-lapis - Iron Dome, David’s Sling, Arrow 2 dan Arrow 3, jelas tidak mampu menangkis semua peluru berpandu yang Iran lancarkan.

Iran hampir pasti telah belajar daripada serangan 13 April yang menyaksikan hanya 5 daripada 120 peluru berpandu yang dilancarkan berjaya menembusi sistem pertahanan Israel. Kali ini Iran melancarkan lebih banyak peluru berpandu secara serentak dan menumpukan serangan kepada beberapa lokasi sahaja. Tindakan ini menyebabkan sistem pemintas peluru berpandu Israel sukar untuk memintas semua peluru berpandu yang dilancarkan.

Serangan kali ini juga menyaksikan Iran tidak memaklumkan Amerika Syarikat dan negara-negara Arab jiran kecuali beberapa minit sebelum serangan dibuat. Ini berbeza dengan serangan pada 13 April lalu ketika Iran memaklumkan akan menyerang Israel 72 jam sebelum serangan dibuat yang membolehkan Israel dan Amerika Syarikat untuk bersiap sedia.

IRGC mendakwa selain peluru berpandu Emad dan Qadr, mereka turut menggunakan peluru berpandu hipersonik Fattah-1 yang memiliki kelajuan dan ketepatan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun beberapa penganalisis meragui dakwaan ini dan melihatnya sebagai sebahagian daripada propaganda Iran semata-mata. Penggunaannya hanya akan mendedahkan teknologi terbaru yang dimiliki Iran kepada Israel.

Israel dan sekutunya dianggarkan terpaksa berbelanja sehingga $1.35 bilion untuk menangkis serangan Iran pada April. Serangan kali ini belum ada data yang dibentangkan. Namun, perbelanjaannya dijangka jauh lebih besar. Yang pasti Pihak Berkuasa Cukai Israel menganggarkan kerugian yang dialami akibat kerosakan rumah, bangunan komersial dan kenderaan rakyat Israel mencecah $53 juta.

Apa Selepas Ini?

Satu perkara yang perlu diakui, tindakan Iran yang hanya mensasarkan pangkalan tentera, aset ketenteraan dan ibu pejabat badan perisikan Israel adalah isyarat yang jelas bahawa negara itu tidak berhasrat untuk melebarkan operasi ketenteraan ini kepada perang yang lebih besar. 

Sekiranya serangan tempoh hari disasarkan ke atas penempatan awam atau pangkalan tentera dengan kepekatan tentera yang tinggi, sudah pasti ia akan menyaksikan jumlah korban yang tinggi. Tetapi itu bukan mesej yang Iran cuba sampaikan.

Tapi Israel dilihat nekad untuk membalas serangan Iran dan mengembalikan kuasa pencegahannya (deterrence). Serangan Israel ke atas Iran akan "mematikan, tepat dan amat mengejutkan," kata Yoav Gallant, Menteri Pertahanan Israel.

Netanyahu dilapor mengancam untuk menyerang tapak tenaga nuklear dan infrastruktur minyak Iran. Tindakan ini walau bagaimanapun tidak mendapat restu Joe Biden, Presiden Amerika Syarikat kerana berisiko mencetuskan perang serantau yang lebih besar selain memberi kesan negatif kepada harga minyak dan ekonomi dunia.

Biden walau bagaimanapun tetap mempertahankan hak Israel untuk membalas serangan tersebut secara ‘berpatutan dan terkawal’. Terbaru, Biden meluluskan penghantaran sistem penangkis peluru berpandu THAAD dan 100 orang pegawai tentera US ke Israel sebagai persediaan sekiranya Iran membalas serangan Israel. Biden turut meluluskan tambahan dana $1.2 bilion untuk menambah peluru dan senjata yang diperlukan oleh tentera US di timur tengah.

Dua minggu sudah berlalu sejak serangan Iran pada 1 Oktober. Serangan Iran pada bulan April dibalas oleh Israel dalam tempoh satu minggu sahaja. Kali ini ternyata Israel lebih berhati-hati. Banyak perkiraan yang perlu dibuat selepas Iran mempersembahkan keupayaannya yang sebenar. Yang pasti, mengenali Israel, serangan akan tetap dilakukan; lambat mahupun cepat.