Banyak Askar Zionis Cacat dan Cedera Parah: Malapetaka Yang Tidak Dilaporkan

Oct 13, 2024

Setiap hari rata-rata di akhbar dan media sosial melaporkan perkembangan-perkembangan berkenaan penduduk Palestin yang jadi mangsa kematian dan kecederaan disebabkan kekejaman Zionis yang dibantu oleh Amerika Syarikat. 

Mengikuti berita-berita berkaitan kehilangan dan kerugian yang dihadapi oleh penduduk Palestin sahaja mungkin dapat melemahkan semangat untuk terus berharap.

Lebih teruk daripada itu, disebabkan hanya perasaan sedih sahaja yang muncul apabila mengikuti perkembangan isu Palestin, ditakuti akan muncul perasaan bosan dan perasaan sedih itu pula mula menghilang.

Hakikatnya peristiwa perang yang sedang berlaku di Gaza ketika ini boleh diikuti daripada pelbagai aspek dan sebahagiannya boleh memberikan kita keyakinan dan pengharapan akan kemenangan.

Antaranya ialah seperti yang dilaporkan secara rasmi oleh Jabatan Pemulihan Kementerian Pertahanan Israel pada 15 Ogos yang lalu, seramai 10,056 tentera Zionis mengalami kecederaan sejak bermulanya perang. 

Bukan itu sahaja, dilaporkan seramai sekitar 1,000 orang askar Zionis menerima rawatan disebabkan kecederaan parah pada setiap bulan, termasuk 35% mengalami masalah psikologi, 37% alami kecederaan pada tangan dan kaki, 68% daripada yang alami kecacatan daripada askar simpanan, 51% daripada mereka adalah antara umur 18-30 tahun dan 31% adalah antara umur 30-40 tahun. 

Dilaporkan juga secara rasmi oleh kementerian itu, seramai 2,800 anggota alami masalah gangguan psikologi akibat perang, termasuk kebimbangan (anxiety), kemurungan, gangguan tekanan akibat trauma, kesukaran menyesuaikan diri dan kesukaran berkomunikasi dengan orang lain.

Lebih 3,700 lagi mengalami kecederaan pada anggota badan, 192 cedera kepala, 168 cedera mata, 690 cedera tulang belakang, dan 50 askar dipotong anggota tangan dan kakinya. 

Kemungkinan besar angka-angka cedera yang diumumkan di atas hakikatnya lebih berganda-ganda lebih ramai tetapi tidak diumumkan. 

Zionis tidak akan mendedahkan angka-angka sebenar. Buktinya, berita Hebrew Yedioth Ahronoth pada 9 Disember (10 bulan yang lalu) lalu melaporkan lebih daripada 5,000 alami kecederaan dan hanya 2,000 orang diiktiraf oleh Kementerian Pertahanan Israel sebagai mangsa kecacatan. 

Pada bulan 10 Disember yang lalu juga dilaporkan berita Hebrew Haaretz angka kecederaan yang diumumkan kerajaan tidak selari dengan angka yang didedahkan pihak hospital. Dilaporkan pada hari tersebut, angka kecederaan yang diiktiraf oleh kerajaan hanya 1,600 orang sejak 7 Oktober. Walhal, hospital-hospital di Israel dilaporkan menerima pesakit seramai 4,591 orang.

Sementara itu, tidak dilupakan kenyataan yang diberikan oleh pengarah tanah perkuburan tentera Israel, David Oren Baruch, yang mendedahkan bahawa tanah perkuburan menerima sejumlah besar orang mati dalam kalangan tentera setiap jam atau setiap setengah jam. 

Tambahan daripada itu, selepas 10 bulan Taufan al-Aqsa, pasukan pejuang-pejuang di Gaza tidak pernah gagal pada hampir setiap minggu yang mendedahkan operasi-operasi yang cemerlang seperti operasi mereka melumpuhkan kenderaan-kenderaan tentera Zionis, meletupkan bangunan-bangunan yang terdapat di dalamnya anggota-anggota tentera Zionis yang sedang berlindung, meletupkan dengan peranti letupan menyasarkan anggota tentera Zionis yang berada di dalam terowong perangkap dan pelbagai lagi. 

Susulan daripada itu, keadaan kekuatan H4M#S ini sendiri dipersetujui oleh jurucakap rasmi Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari, pada 21 Jun lalu yang menyebutkan bahawa H4M#S tidak boleh dikalahkan. Kata beliau, “Idea bahawa adakah mungkin untuk memusnahkan H4M#S, untuk menjadikan H4M#S lenyap, adalah seperti melemparkan pasir di mata orang ramai”.

Kesan jumlah kecederaan yang tinggi dalam kalangan tentera ini memberikan masalah besar kepada masyarakat negara Israel di masa hadapan daripada aspek sosial dan ekonomi. Majoriti dalam kalangan mangsa cedera adalah askar simpanan.

Bermakna mereka adalah anggota masyarakat seperti rakyat biasa yang berumur di bawah 40 tahun. Kehilangan upaya dalam kalangan mereka menghalang kemampuan mereka untuk bekerja biasa seperti sebelum perang. Hal ini menyebabkan penguncupan ekonomi Israel kerana ramai rakyatnya tidak dapat bekerja. Ditambah pula lebih 500,000 daripada rakyat Yahudi telah meninggalkan negara buat selama-lamanya.

Sebagai kesimpulan, mengambil ibrah daripada Surah al-Nisaa’ ayat ke-104, sekiranya umat Islam dalam perang mengalami kesakitan, sungguh musuh juga alami kesakitan. Tetapi perbezaan besar antara kesakitan umat Islam dan musuh ialah kesakitan umat Islam diharapkan reda dan ganjaran daripada Allah manakala musuh pula mengalami kerugian di dunia dan di akhirat diazab dengan azab seksa.