Berapa Lama Lagi Pejuang Palestin Boleh Bertahan?

Oct 13, 2024

Berapa Lama Lagi Pejuang Palestin Boleh Bertahan?

Oleh Khaled Meshaal, Ahli Biro Politik Hamas

Diterjemah oleh Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Soalan: 

Menurut rejim Zionis, perang ini akan diteruskan selama mana ia diperlukan. Berapa lamakah barisan pejuang mampu untuk berperang maelawan tentera Zionis?

Jawapan:

Pertama sekali, lihat apa yang disebutkan dalam al-Quran. Kita tidak sepatutnya malu menjawab soalan ini dengan ayat-ayat al-Quran, bahkan kita berbangga dengannya.

 وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Terjemahan: Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (Ali Imran: 139)

 وَلَا تَهِنُوا۟ فِى ٱبْتِغَآءِ ٱلْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا۟ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Terjemahan: Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (An-Nisa’: 104)

 وَكَأَيِّن مِّن نَّبِىٍّۢ قَـٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌۭ فَمَا وَهَنُوا۟ لِمَآ أَصَابَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا۟ وَمَا ٱسْتَكَانُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Terjemahan: Dan berapa banyak dari nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. (Ali Imran: 136) 

Inilah pemikiran yang diterapkan oleh al-Quran dalam perjuangan. Pejuang-pejuang al-Qassam di sana, mereka menghafal al-Quran. Kebanyakan mereka adalah para huffaz al-Quran (hafal seluruh al-Quran). Hati mereka dihidupkan dengan al-Quran, akal mereka amat pintar menguruskan gerak langkah dalam peperangan dan tangan mereka sentiasa memegang senjata untuk berperang.

Perkara kedua adalah, soalan ini mungkin menakutkan bagi sesiapa yang tidak biasa dengan peperangan yang sedang berlaku atau sesiapa yang berasa terkejut dengan suasana perang ketika ini.

Hakikatnya, rakyat Palestin telah berperang sejak seratus tahun yang lalu. Mereka sudah terbiasa dengan berperang dan itu bukan masalah bagi mereka. Kata sepotong syair Arab: 

أَنا الغَريقُ فَما خَوفي مِنَ البَلَلِ

Terjemahan: Aku telah pun lemas, tiada guna untuk aku takut akan kebasahan.

Ketiga, kemajuan  Gaza dalam berjuang. Bukan sekarang sahaja Gaza menjadi sasaran jenayah Zionis. Negeri ini telah dikepung selama 17 tahun oleh rejim Zionis. Tetapi ingatlah sebelumnya itu, rakyat Palestin di Gaza dan di seluruh tanah Palestin pernah bangkit dalam semangat Intifadah dan perjuangan membebaskan tanah air. Kesannya tanah Gaza berjaya dibebaskan daripada tentera Zionis dan penduduk Yahudi dipaksa untuk keluar daripada tanah Gaza. 

Lihatlah roket Ayyash yang boleh pergi sejauh lebih 250 KM dan senjata-senjata al-Qassam yang lain seperti yang disebutkan jurucakap Abu Ubaidah. Tetapi ia bukan bermula dengan model-model tersebut, ia bermula dengan roket al-Qass@m yang hanya boleh menyerang sejauh  satu kilometer atau setengah kilometer sahaja. Beginilah keazaman pejuang-pejuang Gaza untuk berjuang dan Allah berikan petunjuk kepada mereka.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Terjemahan: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al-Ankabut: 69)

Maka kita tak perlu takut. Rakyat kami di Gaza dah biasa dengan adat resam perjuangan ini.

Keempat, telitilah pemikiran rakyat yang berjuang untuk tanah air miliknya dan pemikiran rakyat Zionis yang merupakan pencuri dan perompak. Rakyat Zionis cabut lari ke luar dari tanah Palestin yang dijajah dengan kewarganegaraan kedua mereka melalui lapangan terbang Ben Gurion atau melalui kapal laut sedangkan rakyat Gaza kekal di Gaza. Kenapa? 

Ini kecekalan dan keutuhan rakyat Gaza, dan mereka ini kalaupun dibakar dengan api pun, mereka tetap akan setia di tanah air mereka.

Terakhir, sedihnya sejak berdekad lamanya entiti Zionis sudah terbiasa perang-perang yang tidak mampu berikan persaingan yang sengit. Ini kerana tentera-tentera Arab tidak dapat menandingi kekuatan ketenteraan Zionis. Seperti mana mereka berjaya mengalahkan tentera-tentera Arab perang enam hari dengan mudah. 

Gaza pula, dalam perang 2014, berlalunya perang pada tahun itu selama 51 hari. Sebab apa 51 hari? Sebab entiti Zionis hanya bersedia untuk berperang dengan jangka masa yang pendek kerana nafasnya (stamina) pendek dan mereka ini pengecut. Bahkan pasukan-pasukan tentera yang ditubuhkan untuk berkhidmat pun tugasnya adalah untuk mengawasi rakyat Palestin bukannya untuk berhadapan dengan tentera musuh yang sebenar, lebih-lebih lagi pejuang-pejuang Palestin yang berani mati.

Sebaliknya, pemuda-pemuda Palestin ini, sejak 100 tahun yang lalu, sejak intifadah pertama dan kedua, mereka menyediakan diri mereka untuk berjuang untuk tempoh yang lama, dengan nafas yang panjang dan semangat yang kuat. 

Sebab itu, berkata salah seorang ulama di tanah Syam, Syeikh Badr al Deen al Hasani sejak puluhan tahun yang lalu,:

"Pintu kemenangan yang hakiki terletak pada ayat terakhir dalam surah Ali Imran. Firman Allah dalam ayat tersebut:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Ali Imran: 200)

Kami rakyat Palestin adalah orang-orang yang bersabar, orang-orang yang berani, orang-orang yang berjuang. Lihat orang-orang Palestin memiliki semua sudut bagi mencapai kemenangan, tetapi setiap perkara, ada masa tibanya yang ditetapkan oleh Allah SWT:

لِكُلِّ أَجَلٍ كِتَابٌ

Terjemahan: Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan oleh "Suratan Azali". (Ar-Ra’d: 38)

Lihatlah, rakyat Vietnam, rakyat Algeria dan rakyat Afghan, mereka menang melawan penjajah-penjajah negara mereka. Palestin akan menang seperti mereka dalam melawan penjajah. 

Sebab itu saya katakan, entiti Zionis ini akan terhapus, bersabarlah sebentar, dan kesabaran itu adalah sebahagian daripada iman, sesiapa yang bersabar ke atas cabaran paling banyak, dialah yang akan menang.