Biden Atau Trump: Siapa ‘Puppet’ Pilihan Netanyahu?

Oct 13, 2024

Perdebatan di antara dua orang calon Presiden AS minggu lalu telah membuktikan tidak ada yang akan berubah dalam dasar luar Amerika ke atas Israel walaupun Taufan Al-Aqsa telah memasuki bulan ke-10. Kedua-dua calon dilihat seperti tidak ada sebarang visi dan rancangan untuk mengakhiri genosid yang sedang berlaku di Gaza.

Baik Trump mahu pun Biden, kedua-duanya berlumba-lumba untuk menunjukkan kepada dunia - khususnya Israel dan pelobi-pelobi mereka, bahawa merekalah yang paling layak dipilih sebagai Presiden AS supaya dapat terus berkhidmat kepada Israel. 

Trump mendakwa, seandainya terpilih semula menjadi Presiden, beliau akan membenarkan Israel untuk ‘finish the job’; tidak seperti Biden yang menyekat pergerakan Israel untuk mencapai ‘total victory’ yang dilaung-laung oleh Netanyahu sejak 7 Oktober.

Ketika menjawat jawatan Presiden sebelum ini, Trump telah bertindak membuka kedutaan AS di Baitulmaqdis untuk membuktikan bahawa dia adalah penyokong terkuat Israel. 

Biden pula pernah secara terang-terangan mengakui dirinya sebagai seorang Zionis sambil berkata: “Aku tidak perlu menjadi seorang Yahudi untuk menjadi Zionis!” 

Jadi, siapa agaknya ‘puppet’ pilihan Netanyahu untuk menjadi Presiden AS untuk pusingan kali ini?

Kebelakangan ini hubungan dua hala AS-Israel sedikit goyah ekoran tindakan Netanyahu mengkritik Biden secara terang-terangan kerana menyekat penghantaran senjata kepada Israel. 

Tohmahan Netanyahu ini dinafikan berkali-kali oleh pentadbiran Biden kerana penyaluran senjata kepada Israel berjalan seperti biasa kecuali 2,000 paun bom yang telah dimaklumkan sebelum ini. Akan tetapi Netanyahu mencanangkan seolah-olah semua penyaluran senjata telah dibekukan.

Drama yang dipertontonkan ini membayangkan seolah-olah Biden bukan lagi pilihan Netanyahu kerana beliau kini lebih cenderung untuk ‘menyekat genosid’ di Gaza menjelang pilihan raya di AS November tahun ini. 

Bagi Biden, tindakan ini penting untuk memenangi semula hati pengundi Arab dan Muslim yang tinggal di AS. Justeru, tidak hairanlah Netanyahu mahu Biden ‘dibuang’ dan digantikan dengan Trump.

Ketika menjawat jawatan Presiden AS, Trump pernah mengisytiharkan dirinya sebagai “Presiden AS yang paling pro-Israel dalam sejarah”. Beliau menuduh parti Demokrat di AS sebagai sebuah entiti radikal yang mahu memusnahkan hubungan di antara AS dan Israel. 

Dalam salah satu kenyataan, Trump dengan begitu lancang berkata, “Jika anda mengundi Demokrat, anda telah mengkhianati Israel dan juga masyarakat Yahudi!”

Ketika menjadi Presiden AS, Trump juga telah mengubah beberapa dasar AS dalam bab keselamatan, diplomatik dan politik supaya lebih memihak kepada Israel. 

Ini termasuklah menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran (JCPOA), memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, menghentikan dana untuk badan kebajikan UN untuk pelarian Palestin (UNRWA), menutup pejabat Palestine Liberation Organization (PLO) di Washington, mengiktiraf tindakan Israel merampas Bukit Golan, dan mempromosikan normalisasi negara-negara Arab dengan Israel. 

Ya, semua ini terjadi sepanjang 4 tahun pemerintahan Trump!

Jadi kita boleh faham mengapa Netanyahu pernah menyebut Trump sebagai “rakan baik yang tidak pernah Israel ada di Rumah Putih”. Babkan, menurut kajian Pew Research Center, Israel adalah satu-satunya negara di dunia yang majoriti masyarakatnya bersetuju dengan dasar Trump iaitu seramai 55%.

Sumbangan Biden kepada Israel juga tidak kurang hebatnya. Di sepanjang kerjaya politiknya, Biden mengakui dirinya adalah seorang Zionis dan pengakuan ini terus diperkukuh sejak 7 Oktober yang lalu. 

Sejak 7 Oktober, Biden tidak henti-henti menunjukkan solidaritinya kepada Israel - menolak semua resolusi PBB yang mengecam Israel, mempertahankan hak Israel untuk mempertahankan diri dari serangan Hamas dengan ‘fight fire with fire’, meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Israel, dan mengadakan lawatan rasmi ke Israel untuk memberikan sokongan moral kepada Netanyahu.

Selain itu, bagi menyokong tindakan Zionis menyekat bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, Biden telah menghentikan penyaluran dana kepada UNRWA, agensi PBB yang menguruskan bantuan kemanusiaan di Palestin. Ini selepas Israel menuduh tanpa bukti bahawa kakitangan URNWA terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober yang lalu. 

Pentadbiran Biden bahkan memberi tekanan kepada negara-negara lain untuk mengambil langkah sama ketika Gaza bertarung dengan risiko kebuluran dan kelumpuhan sistem kesihatan. Pada waktu yang sama Biden memainkan drama membina jeti sementara dan menjatuhkan bantuan dari udara (airdrop) untuk menutup niat jahatnya.

Pentadbiran Biden juga telah ‘membutakan mata’ mereka terhadap kemungkinan Israel menggunakan senjata yang ia bekalkan ke atas orang awam sekaligus melanggar undang-undang antarabangsa. AS sekadar berpuas hati dengan jaminan Israel bahawa serangan yang dilakukan selari dengan undang-undang antarabangsa. 

Kalaupun ada orang awam yang terbunuh, kesalahan diletakkan sepenuhnya di atas bahu Hamas yang dituduh menggunakan orang awam sebagai perisai (human shield).

Dengan kata lain, Biden telah berikan semua yang Israel perlukan - kewangan, senjata, dokongan politik dan diplomatik, demi melindungi Netanyahu, Zionisme dan negara haram Israel. 

Biden memang ada mengatakan bahawa operasi ketenteraan ke atas Rafah adalah garis merah yang tidak boleh Israel langgar. Namun, operasi tersebut tetap berjalan tanpa sebarang hukuman daripada AS. 

Dengan kata lain, garis merah Biden hanyalah sekadar ‘lip service’; kata-kata manis yang dilontar untuk menyedapkan hati dan mengelak daripada terus dikecam. Buktinya, AS kemudian bertindak mempertahankan pula operasi tentera Israel di Rafah sebagai operasi ketenteraan yang terkawal (limited operations).

Terbaru, Biden cuba berlagak ‘wira’ di mata dunia dalam usaha mendapatkan persetujuan gencatan senjata di Gaza. Ironinya, sebelum ini AS telah menggunakan kuasa vetonya ke atas tiga draf resolusi gencatan senjata yang berbeza di pentas Majlis Keselamatan PBB dan menolak dua lagi resolusi sama di Perhimpunan Agung PBB. Alasan mereka, semua draf resolusi tersebut tidak mengecam Hamas. 

Realitinya, gencatan senjata yang US canang hari ini masih mengekalkan naratif yang sama walaupun keputusannya berbeza - meletakkan semua kesalahan dan bebanan kepada Hamas dan bukannya Israel.

Semua ini dilakukan oleh Biden bagi menunjukkan kesetiaannya terhadap Zionisme yang dianutinya sejak sekian lama. Tidak ada satu pun tindakan tegas terhadap Israel sebagaimana yang pernah diambil ke atas negara-negara yang mencabuli undang-undang antarabangsa seperti Rusia, Yaman mahupun Iran. Yang ada hanyalah bantuan demi bantuan dan sokongan demi sokongan. Malangnya semua ini masih belum cukup bagi Netanyahu.

Sanggahan Trump ke atas Biden dalam debat Presiden AS baru-baru ini pasti membuatkan hati Netanyahu berbunga-bunga. Jaminan Trump bahawa ia akan mengizinkan Israel untuk meneruskan operasinya di Gaza sehingga tamat hampir pasti menyebabkan Netanyahu cenderung untuk memilih Trump. Tambahan, sokongan Parti Republikan kepada Israel dilihat tidak berbelah bahagi. 

Sebagai contoh, salah seorang Senator mereka, Lindsay Graham dalam sebuah temubual bersama NBC News berkata “Berikan Israel bom yang mereka perlukan untuk mengakhiri perang ini. Mereka tidak boleh kalah!” 

Begitu juga Nikki Haley, bekas Gabenor North Carolina yang meninggalkan mesej “Habiskan mereka!” di atas peluru berpandu Israel ketika melawat negara haram itu pada bulan Mei baru-baru ini.

Tindak-tanduk Netanyahu akhir-akhir ini - menolak perjanjian gencatan senjata yang dibentang oleh Biden dan mengecam sekatan AS ke atas bom-bom yang Israel minta, menunjukkan beliau seolah-olah sudah bersedia untuk ‘burn the bridge’ dengan Biden. 

Tindakan Netanyahu sengaja memanjangkan operasi ketenteraan di Gaza dan mengancam untuk meluaskan perang dengan Hezbollah juga dilihat sebagai helah untuk terus memberi tekanan kepada Biden sekaligus memberi kelebihan kepada Trump untuk dipilih semula sebagai Presiden AS.