Kembali
Dr Husam Abu Safiah, Contoh Ketabahan Dan Kesabaran Seorang Pegawai Kesihatan
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Dec 31, 2024
Keadaan perkhidmatan kesihatan dalam Gaza di tahap kehancuran. Hospital-hospital di Gaza yang berfungsi amat sedikit. Ramai dalam kalangan pegawai kesihatan ditangkap, diculik dan ditembak oleh rejim Zionis. Bekalan ubat-ubatan disekat.
Dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai, boleh dikatakan majoriti yang alami kecederaan tidak mendapat rawatan yang secukupnya.
Hari ini pula dunia sedang menyaksikan apa yang berlaku di salah satu hospital di utara Gaza iaitu Hospital Kamal 'Udwan. Sebuah hospital yang terletak di Beit Lahiya yang dikepung rejim Zionis.
Tersebar visual Dr Husam Abu Safiah, pengarah Hospital Kamal 'Udwan berjalan seorang diri secara paksa menuju kereta kebal rejim Zi@nis. Selepas itu beliau ditangkap sehingga kini tidak diketahui khabar berita.
Kisah Dr Husam Abu Safiah ialah kisah para pegawai kesihatan di Gaza. Baru-baru ini di utara Gaza, beberapa pegawai kesihatan dilihat hanya berpakaian pakaian dalam dan diikat tangan mereka berjalan ke sebuah tempat. Mereka semua diculik, dimalukan dan dihina oleh rejim Zionis.
Dr Husam Abu Sufiah juga pernah diculik pada 25 Oktober ketika rejim Zionis menceroboh Hospital Kamal U’dwan. Apabila beliau dan rakan sekerja lain dibebaskan, beliau mendapat khabar kesyahidan anaknya, Ilyas akibat bedilan pesawat udara rejim Zionis.
Dalam keadaan anaknya syahid, disekat bekalan makanan dan minuman, para pegawai kesihatan di hospital-hospital di Gaza tetap menjalankan perkhidmatan mereka untuk penduduk. Ini merupakan contoh kesabaran dan kecekalan para penduduk Gaza yang patut kita semua teladani.
Pada 24 November pula, Dr Husam Abu Safiah turut menjadi sasaran rejim Zionis. Kaki beliau alami kecederaan disebabkan cucukan enam kepingan besi pada kakinya daripada sebuah peluru b@m yang meletup berdekatan beliau.
Pada 27 Disember sekali rejim Zionis mengepung dan menceroboh Hospital Kamal U’dwan. Ramai dalam kalangan pegawai kesihatan ditangkap termasuk Dr Husam Abu Safiah.
Perjalanan beliau semasa menuju ke sebuah kereta kebal terbabit sempat dirakam dan disebarkan. Rakaman menunjukkan sekeliling beliau dilihat kehancuran dan beberapa aset kenderaan berada di hadapan beliau. Bagi penduduk Gaza, situasi tersebut menggambarkan keadaan terkini Gaza.
Telah melebihi 450 hari peperangan dalam Gaza. Segala bentuk kejahatan dan penindasan telah dilakukan ke atas penduduk sana. Sangat mustahak bagi umat Islam seluruhnya memberikan tumpuan penuh terhadap apa yang berlaku di Gaza.
Semua usaha yang dapat membantu Gaza daripada segi media, wang, politik dan perasaan perlu diberikan kepada mereka.
Megat Aiman Hakim bin Megat ShariffudinPegawai Penyelidik Aqsa Syarif