Kembali
Gencatan Senjata: Babak Kemenangan Perjuangan Pembebasan Al-Aqsa
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Jan 21, 2025

15 bulan kanak-kanak Gaza tidur dalam keadaan ketakutan disebabkan serangan tanpa henti daripada pesawat udara rejim Zionis. Pada Ahad lalu, seusai bermulanya gencatan senjata, malam tersebut akhirnya mereka dapat menikmati tidur dengan aman tanpa ketakutan. Bukan itu sahaja, pelbagai pemandangan luar biasa berlaku, seperti rakyat keluar beramai-ramai bertakbir kepada Allah seperti hari raya dan menyambut peristiwa tersebut dengan penuh kegembiraan.
Lebih mengagumkan apabila munculnya anggota pejuang daripada Briged al-Qassam dengan memakai pakaian uniform yang lengkap dan bersih. Media hebrew memberikan komentar seolah-olah mereka tidak berperang langsung melihatkan pakaian mereka amat bersih seolah-olah baru. Mereka juga disambut oleh penduduk Gaza seperti wira yang telah menyelamatkan mereka. Apabila ditanya penduduk Gaza oleh wartawan Middle East Eye adakah al-Qassam punca kemusnahan di Gaza, mereka jawab al-Qassam adalah kebanggaan rakyat Gaza. Mereka menekankan bahawa disebabkan adanya penentangan daripada pejuang al-Qassam, rejim Zionis tidak berjaya menjajah Gaza.
Sehubungan dengan itu, kegembiraan rakyat Gaza yang ditunjukkan ke atas kejayaan al-Qassam telah membuktikan mereka memilih jalan perjuangan. Ia sebenarnya telah terbukti selama 15 bulan melalui peristiwa Taufan al-Aqsa, apabila ramai dalam kalangan pemuda Gaza memilih untuk menyertai al-Qassam bagi melawan pihak penjajah di atas darat Gaza. Bukan itu sahaja, penduduk Gaza juga tidak menyerahkan maklumat-maklumat rahsia berkaitan pasukan-pasukan pejuang dalam Gaza kepada pihak penjajah membuktikan bahawa masyarakat Gaza secara umumnya adalah pejuang kemerdekaan pembebasan Palestin.

Selain itu, kemunculan anggota al-Qassam sebagai sayap ketenteraan Hamas yang ramai dan lengkap bersenjata juga membuktikan rejim Zionis telah gagal sepenuhnya untuk melumpuhkan mereka. Ia merupakan salah satu objektif yang diumumkan Netanyahu pada awal peperangan Taufan al-Aqsa iaitu untuk mengalahkan Hamas. Namun terbukti pada saat awal gencatan senjata objektif terbabit telah gagal sepenuhnya. Rejim Zionis telah membelanjakan berbilion USD untuk ketenteraan bagi mengalahkan al-Qassam. Mereka telah mengerahkan hampir 500,000 anggota tentera Zionis untuk beroperasi dalam Gaza, menggunakan pesawat udara dan drone tanpa henti, menggunakan teknologi robot dan pelbagai lagi. Dengan izin Allah SWT, seperti yang diiktiraf sendiri oleh media hebrew dan Amerika Syarikat, rejim Zionis telah alami kekalahan ketenteraan.
Selain daripada itu, anggota tentera al-Qassam dan seluruh pasukan pejuang bersenjata di Gaza turut menjaga tebusan warga Israel dengan baik. Para tebusan terbabit bukan sahaja terselamat daripada serangan bom pesawat udara daripada negara mereka sendiri, mereka juga diberikan makanan dan minuman yang cukup. Hal demikian terbukti apabila terdapat video yang memperlihatkan seorang warga Israel berbadan sihat merayu kerajaan rejim Zionis berunding untuk dapatkan gencatan senjata dengan kala segera. Begitu apabila berlaku serahan tiga orang tebusan kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa. Dapat dilihat kesemua dalam kalangan mereka dalam keadaan tersenyum, sihat tubuh badan dan diberikan buah tangan sebelum meninggalkan Gaza.

Gencatan senjata ini turut memberikan senyuman dan menyebabkan tangisan kegembiraan kepada seluruh dunia tanpa mengira agama, bangsa dan bahasa. Hal ini disebabkan sentuhan Taufan al-Aqsa telah sampai ke seluruh dunia. Masyarakat umum di banyak negara telah bersama-sama dalam isu Palestin sama ada dengan cara menyebarkan maklumat di media sosial, memberikan sumbangan kepada penduduk Gaza, menekan pihak atas untuk memberikan tekanan kepada rejim Zionis dan berdoa akan kesejahteraan rakyat Gaza dengan penuh pengharapan. Bahkan sebahagian syarikat pro-Zionis membuang pekerja yang bukan beragama Islam hanya kerana sokongannya untuk Palestin.
Fenomena bantuan daripada seluruh dunia kepada Gaza yang kecil ini disebutkan oleh Abu Ubaidah pada malam hari Ahad lalu, “kami menerima jutaan pesanan bantuan daripada seluruh pelusuk dunia umat kita di negara-negara Arab dan Islam”. Ekoran itu, pengorbanan yang telah diberikan penduduk Gaza sepanjang era Taufan al-Aqsamengubahkan persepsi masyarakat. Rejim Zionis telah membuktikan dirinya musuh kepada kemanusiaan seluruhnya. Mereka bukan sahaja menyasarkan hampir seluruh masjid dalam Gaza, tetapi juga gereja serta warga Gaza yang beragama Kristian.

Bagaimana pun, bagi seorang muslim, pejuang Palestin bukan sekadar di Gaza sahaja, tetapi mestilah menyasarkan pembebasan Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Ia adalah perjuangan akidah dan prinsip. Seperti yang ditunjukkan oleh penduduk Gaza, walaupun rumah-rumah mereka telah musnah, ahli keluarga ramai telah syahid dan ramai alami kecederaan, mereka masih memilih jalan perjuangan ini dalam hidup mereka. Bagi mereka, kesemua kerugian, kematian dan kecederaan yang dialami itu merupakan pengorbanan mereka untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan umat Islam di sana daripada penjajahan rejim Zionis.
Sebagai penutup, Allah telah mentakdirkan kita hidup di era Taufan al-Aqsa, sebuah episod perjuangan dan pengorbanan yang tidak pernah berlaku sepanjang sejarah Palestin, sebagai teguran agar menjadi muslim yang lebih baik. Contoh yang diberikan oleh penduduk Gaza sepanjang 15 bulan ini walaupun teruk dibedil rejim Zionis, tetapi mereka masih menjaga solat, membaca al-Quran dan berpegang kepada ajaran-ajaran Islam sepenuhnya. Bagaimana pula kita yang hidup dalam keadaan aman di Malaysia? Sekiranya Taufan al-Aqsa tidak mampu memberikan sentuhan kepada jiwa kita, ia merupakan satu muhasabah besar buat kita.