Kebangkitan Pelajar: Menggugat Penguasa, Menolak Genosid

Oct 13, 2024

Gerakan kebangkitan pelajar menentang subahat Amerika Syarikat (AS) dalam genosid rejim Zionis ke atas Gaza kini ibarat sebuah bom jangka yang boleh meledak pada bila-bila masa. Ledakannya juga tidak hanya terhad kepada negeri-negeri di AS bahkan mampu merebak ke serata dunia.

Gerakan yang tercetus pada 17 April di Universiti Colombia (UC) itu bermula sebagai sebuah perkhemahan (encampment) oleh para penuntut di halaman Butler Lawn, di hadapan perpustakaan universiti sebagai tanda solidariti mereka kepada penduduk Gaza. Pada waktu yang sama mereka menuntut agar UC menghentikan sebarang hubungan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat atau entiti yang mempunyai kaitan dengan rejim Zionis dan kekejaman mereka di Palestin.

Perkhemahan dan protes aman ini walau bagaimanapun telah disuraikan dengan kekerasan selepas Presiden UC, Minouche Shafik, memohon campur tangan pihak polis. Para pelajar yang memprotes telah ditahan dan barang-barang peribadi mereka dibuang. Tiga orang pelajar telah digantung pengajian termasuk Isra Hirsi, anak perempuan kepada Ilhan Omar, Ahli Dewan Rakyat AS untuk Minnesota. 

Tindakan ini telah membangkitkan semangat pelajar-pelajar di UC untuk menganjurkan perkhemahan yang lebih besar pada 19 April. Pelajar Muslim mendirikan solat Jumaat pada sebelah siang manakala pelajar Yahudi pro-Palestin mengadakan upacara Kabbalat Shabbat pada sebelah malam. Professor Norman Finkelstein, penulis buku ‘The Holocaust Industry’ turut hadir memberikan semangat kepada pelajar yang melakukan protes.

Pada waktu yang sama, pelajar dari Universiti Harvard, Boston, North Carolina dan Ohio turut melakukan perhimpunan di kampus masing-masing sebagai tanda solidariti kepada rakan-rakan mereka di UC. “Ini adalah intifada pelajar,” laung seorang penuntut Universiti Harvard yang turut serta dalam protes yang diadakan.

Terbaru, lebih daripada 20 universiti di seluruh AS telah mengambil bahagian bagi menyatakan bantahan mereka ke atas kekejaman rejim Zionis di Gaza. Kekejaman ini telah meragut lebih daripada 34,000 nyawa; lebih separuh daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.

Bahang gelombang kebangkitan pelajar ini turut dirasai oleh pendukung Zionis di Dewan Rakyat AS. Sebagai tindak balas, dewan tersebut telah meluluskan rang undang-undang ‘Shalom’ pada 8 Mei untuk memperluaskan lagi definisi anti-semitisme. Sekiranya diluluskan oleh Dewan Senat, ia boleh digunakan untuk mendiamkan protes-protes yang sedang meletus di kampus-kampus universiti sekaligus menafikan kebebasan bersuara rakyat AS sendiri.

Ketika Kongres AS cuba membisukan gerakan pelajar mereka, pelajar universiti di luar negara lain pula ceritanya. Mereka telah menyahut seruan pelajar di UC untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menentang genosid rejim Zionis ke atas penduduk Gaza sejak 7 Oktober yang lalu. Protes ini telah merebak dari Perancis di Eropah sehinggalah ke Australia di negara-negara Kepulauan Pasifik.

Di Perancis, pelajar dari Universiti Sorbonne telah membawa protes mereka ke jalanan. Pelajar Sciences Po, institut kajian politik paling terkemuka di Paris, telah menutup laluan masuk ke institut itu menyebabkan bangunan utamanya tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Di Itali, pelajar dari Universiti Sapienza menganjurkan demonstrasi, mogok duduk dan juga mogok lapar. Di Australia, pelajar dari Universiti Sydney dan Melbourne menjalankan protes mereka dengan mendirikan khemah di pekarangan kampus.

Tidak dapat dipastikan berapa banyak universiti di seluruh dunia yang telah menjadi sebahagian daripada gerakan pelajar ini. Yang pasti, gerakan ini telah membuka mata dunia terhadap wajah sebenar Zionisme dan hipokrasi pemimpin dunia yang sedia bersekongkol dengan kekejaman rejim tersebut di Gaza.

Gelombang kebangkitan pelajar ini menarik perhatian penulis untuk mengimbau semula kebangkitan yang pernah dilancar oleh pelajar UC pada musim bunga tahun 1968 ketika mereka memprotes serangan AS  ke atas Vietnam.

Protes tahun 1968 digerakkan oleh Students for a Democratic Society (SDS) di UC. SDS menuntut universiti mereka agar menghentikan sebarang kerjasama dan sumbangan kepada aktiviti ketenteraan. Ini kerana pada waktu itu UC terlibat dengan penyelidikan yang menyumbang kepada operasi ketenteraan di Vietnam. 

Protes ini kemudian bertukar menjadi sebuah demonstrasi berskala besar apabila para pelajar turut menyentuh isu keadilan sosial penduduk setempat. Mereka menentang rancangan UC untuk membina sebuah gimnasium baharu yang mengehadkan akses komuniti kulit hitam dari kejiranan Harlem berdekatan kampus.

Kemuncak kepada protes ini ialah apabila sekumpulan pelajar berjaya menguasai dan berkampung di dalam beberapa bangunan di sekitar kampus termasuk Dewan Hamilton, Perpustakaan Low dan juga Dewan Fayerweather. Mereka juga berjaya menghalang pemangku dekan daripada meninggalkan pejabatnya dan memaksa rundingan dilaksanakan supaya tuntutan mereka dipenuhi oleh pihak UC.

Rundingan berlangsung selama seminggu tetapi kesemuanya menemui jalan buntu. Akhirnya, pihak polis telah merempuh masuk ke dalam bangunan universiti dan menggunakan kekerasan ke atas pelajar untuk menyuraikan mereka. 148 daripada 712 pelajar yang ditahan mengalami kecederaan akibat kekerasan pihak polis.

Protes ini telah meraih perhatian masyarakat awam dan mencetuskan perdebatan hangat tentang kebebasan akademik, gerakan pelajar dan juga peranan institusi pendidikan seperti universiti terhadap masyarakat. Akhirnya, pihak UC terpaksa akur dengan dua tuntutan utama pelajar untuk menamatkan kerjasama penyelidikan melibatkan ketenteraan dan membatalkan pembinaan gimnasium yang meminggirkan komuniti di Harlem.

UC juga bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat aduan pelajar yang terlibat di dalam protes dan memberikan pengampunan kepada mereka. Pun begitu, lebih 30 orang pelajar tetap digantung. Ini menyebabkan graduan tahun 1968 telah melancarkan mogok dengan meninggalkan majlis graduasi mereka.

Protes pelajar UC pada tahun 1968 telah menjadi contoh bagaimana gerakan pelajar mampu mencabar struktur kuasa ke arah perubahan yang positif. Justeru, tidak pelik apabila pelajar UC pada hari ini telah mengambil pelajaran daripada kebangkitan 1968 yang dilancarkan oleh senior mereka.

Tempoh hari pelajar UC juga telah mengambil tindakan mengambil-alih dan berkampung di dalam Dewan Hamilton selepas pihak universiti menolak tuntutan mereka dan mengancam untuk menggantung semua pelajar yang terlibat sekiranya protes tidak dihentikan serta-merta. 

Apabila ditanya sama ada mereka bimbang dengan ancaman tindakan disiplin dan penggantungan pengajian, salah seorang peserta berkata: "Ada prinsip dan nyawa manusia yang lebih penting daripada kerjaya dan masa depan saya. Melayan ancaman seperti ini sangat tidak masuk akal dan menghina ingatan setiap kanak-kanak yang telah terbunuh dalam genosid ini." 

Ketegasan para pelajar ini telah menyebabkan Presiden UC sekali lagi memohon bantuan pihak polis untuk menyuraikan mereka. Laporan media menyebut pihak polis hadir lengkap dengan senjata berat. Bunyi letupan dipercayai daripada bom tangan kilat turut kedengaran ketika penahanan dibuat. 

Pihak polis melaporkan 112 orang pelajar telah ditahan tanpa sebarang kecederaan. Tapi kenyataan gabungan Students for Justice in Palestine (SJP) menunjukkan ada pelajar yang terpaksa dimasukkan ke hospital akibat kecederaan termasuk di bahagian kepala dan muka.

Protes di UC setakat ini masih belum membuahkan hasil. Presiden UC masih lagi bertegas untuk tidak menamatkan kerjasama mereka dengan agensi berkaitan rejim Zionis. Pihak UC juga telah memohon pihak polis untuk terus berkawal di kawasan universiti sehingga 17 Mei untuk mengelak protes berjalan semula. Tetapi protes di universiti lain sudah ada yang berjaya.

Pelajar di Trinity College, Ireland telah menamatkan protes dan menghentikan perkhemahan solidariti mereka selepas tuntutan mereka dipersetujui oleh pentadbiran universiti. Trinitiy College turut mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa pihak mereka akan menghentikan sepenuhnya pelaburan mereka dalam syarikat Zionis yang berpengkalan di tanah yang dijajah. 

Selain itu, sebanyak 76 institusi pendidikan tinggi swasta dan awam di Sepanyol yang diwakili oleh Conference of Rectors of Spanish Universities turut mengumumkan solidariti dengan Palestin. 

Mereka mengumumkan akan menggantung sebarang kerjasama dengan mana-mana universiti Zionis yang tidak “menzahirkan komitmen untuk mencapai keamanan dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.” Mereka turut berikrar untuk mengeratkan lagi kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi di Palestin dan menganjurkan program untuk pelarian Palestin.

Mungkin ada pihak yang memperkecilkan usaha para pelajar ini dan merasakan mereka ini masih ‘kanak-kanak’, belum matang dan belum cukup makan garam. Tapi sarjana seperti Herbert Marcuse menyangkal dakwaan ini. 

Dalam karyanya yang bertajuk ‘The Aesthetic Dimension: Toward a Critique of Marxist Aesthetics’, Marcuse menekankan kedudukan unik pelajar sebagai pencabar utama kepada aturan sosial di dalam masyarakat. Beliau percaya pelajar mempunyai kebolehan untuk mempersoal dan mencabar norma dalam masyarakat serta mampu menggunakan hujah yang kritikal untuk mencetuskan perubahan sosial yang besar. 

Dengan kata lain, pelajar adalah alat kepada perubahan dunia dan suara mereka tidak wajar diabaikan.