Kembali

Kejatuhan Rejim Al-Assad di Syria: Apa Sikap Kita?

Khalid bin Jimat

Dec 12, 2024

PENGENALAN

Kejayaan Kumpulan Pejuang Syria menjatuhkan rejim Bashar al-Assad baru-baru ini telah mengejutkan banyak pihak. Paling mengejutkan ialah kejatuhan rejim tersebut dalam tempoh singkat (12 hari) tanpa banyak penentangan daripada pihak rejim dan sekutunya.

Antara faktor yang menyumbang kepada kejatuhan ini adalah lompong besar yang wujud pada pertahanan rejim selepas sekutu kuatnya Hezbollah, Iran dan Rusia telah disibukkan dengan medan pertempuran lain di Palestin, Lubnan dan Ukraine. Ini menyebabkan mereka tidak dapat mempertahankan rejim al-Assad sepertimana sebelumnya.

3Pada waktu yang sama, tentera rejim pula berdepan defisit anggota, persenjataan, dan moral selepas berperang lebih 13 tahun sejak 2011. Kebergantungan kepada tentera Rusia, Iran, Hezbollah, dan militan-militan syiah dari luar juga telah melemahkan struktur dan kepimpinan tentera rejim.

Kejayaan menumbangkan rejim al-Assad telah disambut dengan sorakan dan air mata kegembiraan oleh rakyat Syria khususnya 14 juta orang yang menjadi pelarian baik di dalam mahupun di luar negara serta ribuan yang dibebaskan daripada penjara-penjara rejim al-Assad.

Pun begitu, ada pihak berpandangan bahawa kejatuhan rejim al-Assad merugikan perjuangan Palestin dan menguntungkan Israel. Bahkan, tidak sedikit yang percaya kejatuhan rejim Bashar al-Assad adalah rancangan yang telah pun diatur oleh Amerika Syarikat (US) demi memelihara kepentingan Israel.

Pendapat ini mempunyai logiknya yang tersendiri berdasarkan rekod campurtangan US dalam proses pertukaran banyak rejim di dunia termasuk di negara-negara Islam seperti Iraq, Afghanistan, dan Libya yang berakhir dengan ketidakstabilan dan malapetaka yang lebih besar kepada penduduk tempatan. Tapi apakah logik ini juga terpakai untuk kejatuhan rejim al-Assad di Syria?

BAGAIMANA IA BERMULA?

Mereka yang mengikuti konflik di Syria sejak tahun 2011 pasti maklum bahawa perjuangan rakyat Syria menumbangkan rejim al-Assad bertitik-tolak daripada kebangkitan Arab Spring; kebangkitan besar-besaran rakyat Arab menuntut perubahan politik, ekonomi dan sosial di negara masing-masing yang dipimpin oleh raja atau bekas jeneral tentera yang korup dan autokratik. Ia merupakan kebangkitan Arab yang terbesar sejak Perang Dunia Pertama.

Bermula dengan Tunisia pada Disember 2010, kebangkitan tersebut kemudian merebak dengan cepat ke negara-negara Arab yang lain. Dalam tempoh setahun, empat orang pemimpin Arab tumbang – Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia, Hosni Mubarak di Mesir, Muammar Gaddafi di Libya dan Ali Abdullah Saleh di Yaman. Negara-negara Arab yang lain seperti Jordan, Bahrain, Kuwait, Oman, Lubnan, Sudan dan Maghribi pula menyaksikan perubahan dan reformasi kerajaan untuk meredakan kemarahan rakyat.

Kebangkitan rakyat di Syria walau bagaimanapun telah dibalas dengan pembunuhan, penangkapan, penyiksaan, dan pemerkosaan oleh rejim Bashar al-Assad. Tindakan tersebut telah menyebabkan sebahagian daripada tentera Syria bertindak keluar daripada pasukan tentera dan bergabung menubuhkan Free Syrian Army (FSA). FSA memutuskan untuk bersama dengan perjuangan rakyat menuntut perubahan selepas 48 tahun menderita di bawah pemerintahan kuku besi rejim al-Assad.

Tindakan FSA ini dikritik oleh ulama besar Syria seperti almarhum Syeikh Ramadan al-Buti. Beliau bimbang tindakan ini akan mencetuskan pertumpahan darah yang lebih besar sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1982 ketika tragedi pembantaian Hama oleh rejim al-Assad yang menyebabkan lebih 40,000 orang terbunuh dalam tempoh hanya 3 minggu!

Tetapi kekejaman berlipat kali ganda yang berlaku menyebabkan tindakan ini disokong oleh ulama-ulama Syria yang lain seperti almarhum Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni, almarhum Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih, dan Syeikh Usamah al-Rifa’ie. Bahkan Kesatuan Ulama Syria, Kesatuan Ulama Syam dan Kesatuan Ulama Sedunia turut mendukung usaha jihad FSA ini. Boleh rujuk buku “Krisis Syria dan Mauqif Ulama” tulisan Dr. Zulkifli al-Bakri untuk maklumat lanjut.

Sebagai tindak balas, pihak rejim telah memohon bantuan daripada Hezbollah dan Iran untuk mengekang kebangkitan yang telah bertukar wajah daripada protes aman kepada kebangkitan bersenjata. Permohonan rejim turut disambut oleh militan Syiah dari Iraq, Afghanistan, dan Pakistan.

DARIPADA PERANG SAUDARA KEPADA PERANG SEKTARIAN SERANTAU KEPADA PERANG PROKSI

Campurtangan Hezbollah dan Iran telah meluaskan konflik di Syria kepada konflik serantau dan konflik sektarian apabila negara-negara Arab Sunni dan Turki turut campurtangan dengan memberi sokongan kepada FSA dan kumpulan-kumpulan pejuang lain yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kekacauan ini jugalah yang kemudiannya memangkin kepada kelahiran Islamic State in Iraq and Syria (ISIS), kumpulan paling ekstrem yang pernah dilihat; lebih ekstrem daripada al-Qaeda.

Kemunculan ISIS telah dijadikan batu loncatan oleh US untuk mula campurtangan secara aktif di Syria pada tahun 2014. US menubuhkan Combined Joint Task Force – Operation Inherent Resolve (CJTF–OIR), pakatan 32 negara untuk memerangi ISIS di Iraq dan Syria.

Pada waktu yang sama, US juga melancarkan projek Timber Sycamore bernilai $1 bilion untuk melatih dan membekalkan senjata kepada kumpulan pejuang yang dilabel sebagai moderat untuk menumbangkan rejim al-Assad. Projek ini walau bagaimanapun telah dihentikan apabila Donald Trump menjadi presiden pada tahun 2018. Sebagai alternatif, US telah membantu penubuhan Syrian Democratic Forces (SDF) yang dipelopori oleh puak Kurdish sebagai proksinya di Syria.

Penyertaan US telah memangkin pula penyertaan Rusia ke dalam konflik di Syria pada tahun 2015. Rusia telah menggolongkan semua kumpulan pejuang di Syria yang menentang rejim al-Assad sebagai pengganas sama seperti ISIS dan mengebom kawasan yang mereka kuasai.

Bantuan Rusia telah membolehkan rejim al-Assad berjaya merampas semula banyak kawasan daripada kumpulan pejuang termasuk kubu kuat mereka di Aleppo. Kumpulan pejuang kemudian telah dipencilkan di Idlib, Azaz, dan beberapa poket kawasan di pinggir Aleppo, Hama, Homs, Damsyik dan Dar’aa sebelum gencatan senjata dimeterai pada Mac 2020 dengan perantaraan Turki.

Gencatan senjata ini walau bagaimanapun tidak berjaya menghentikan serangan pihak rejim sepenuhnya. Dari semasa ke semasa pihak rejim akan menyerang wilayah di bawah penguasaan kumpulan-kumpulan pejuang untuk melemahkan penentangan mereka. Sebagai contoh, dalam serangan pada bulan Oktober 2024, pihak rejim telah mengebom 27 lokasi di sekitar Idlib dan menyebabkan sekurang-kurangya 20 orang terbunuh termasuk 2 kanak-kanak dan 4 orang wanita.

PENYUSUNAN SEMULA SAF PERJUANGAN

Pun begitu, tempoh bertenang sepanjang gencatan senjata ini telah dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kumpulan-kumpulan pejuang di Syria untuk menyusun semula pergerakan dan menyelesaikan pertikaian sesama mereka agar tumpuan dapat diberikan kepada usaha untuk menjatuhkan rejim Bashar al-Assad. Penggabungan dan pembubaran ratusan kumpulan pejuang di Syria banyak berlaku dalam tempoh ini.

FSA berjaya menggabungkan 28 fraksi besar di bawahnya termasuk 11 fraksi dari National Front for Liberation (gabungan diketuai Faylaq al-Sham, Suqour al-Sham, Ahrar al-Sham, dan serpihan Jaysh al-Ahrar) membentuk Syrian National Army (SNA). SNA mendapat dukungan Turkiye dan bersama dalam banyak operasi mengekang kemaraan SDF, kumpulan pro-Kurdish di utara Syria.

SNA menyokong Syrian Interim Government (SIG) yang berpusat di Azaz sebagai kerajaan alternatif di Syria dan bertindak sebagai sayap ketenteraan SIG. SIG diketuai oleh Hadi al-Bahra sebagai Presiden dan Abdurrahman Mustafa sebagai Perdana Menteri. SIG diiktiraf sebagai wakil rasmi rakyat Syria oleh Turkiye, Qatar, US dan Kesatuan Eropah.

Jabhat an-Nusra telah bertindak keluar dari al-Qaeda dan menjenamakan semula diri mereka sebagai Jabhat Fateh al-Sham. Mereka kemudian menubuhkan gabungan Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) bersama Jaysh al-Ahrar, Jaysh as-Sunna, Liwa al-Haq, Nour al-Din al-Zenki Movement, Ansar al-Din Front dan 33 lagi fraksi yang lain.

HTS berjaya membentuk kerajaan mereka sendiri – Syrian Salvation Government (SSG) yang berpusat di Idlib dengan ketuanya Abu Muhammad Golani bertindak sebagai Emir dan Muhammad al-Bashir sebagai Perdana Menteri. HTS dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh US, Rusia, Turki dan Kesatuan Eropah.

SNA dan HTS mencapai persetujuan untuk mengendurkan persengketaan sesama mereka untuk memberi tumpuan kepada penentangan terhadap rejim al-Assad. Bahkan dalam beberapa operasi mereka telah bekerjasama untuk mengekang kemaraan rejim al-Assad khususnya di Idlib dan barat Aleppo. HTS juga dilaporkan telah membantu SNA untuk menyerang kedudukan SDF di utara Syria. Kemuncak kepada kerjasama mereka adalah melalui Operasi Rad’ al-‘Udwan (Deterrence of Aggression) baru-baru ini yang berakhir dengan tumbangnya rejim Bashar al-Assad.

AGENDA US-ISRAEL DI SYRIA

Justeru, adalah kurang tepat untuk mengatakan US dan Israel berada di belakang operasi menumbangkan rejim al-Assad baru-baru ini. Proksi US di Syria adalah SDF. Yang menumbangkan rejim al-Assad baru-baru ini adalah pakatan HTS-SNA.

US memang pernah menyalurkan sumbangan kepada kumpulan anti-Assad dan Israel pula pernah membantu merawat tentera Jabhat an-Nusra yang cedera pada satu ketika. Namun, sumbangan dan bantuan ini terhad pada fasa tersebut sahaja. Ketika itu pelan US dan Israel adalah untuk memastikan peperangan di Syria terus berpanjangan (protracted) agar negara sekutu Iran itu berterusan dalam keadaan tidak stabil dan tidak mampu mengancam keselamatan Israel.

Selepas penyertaan Rusia, US telah mengambil langkah strategik untuk memberi dukungan kepada SDF dan bergerak kepada pelan mereka yang seterusnya iaitu memecahkan Syria kepada tiga zon (balkanization) - zon rejim al-Assad yang disokong oleh Iran dan Rusia, zon kumpulan pejuang yang disokong oleh Turki dan negara-negara Arab Sunni dan zon kumpulan Kurdish (SDF) yang berada di bawah pengaruh US.

Namun, tindakan Israel melebarkan perangnya dengan Hamas kepada Hezbollah dan Iran telah mengubah status quo ini. Tindakan tersebut mengganggu imbangan kuasa yang ada di Syria sekaligus membuka peluang kepada HTS dan SNA untuk melancarkan operasi ke atas rejim al-Assad. Dengan kata lain, rejim al-Assad tumbang akibat kegelojohan Netanyahu sendiri.

PERKEMBANGAN TERKINI

Bagi menghadapi perkembangan ini, Netanyahu telah mengarahkan tentera Israel menceroboh dan merampas kawasan penampan di antara Bukit Golan dan wilayah Syria di Qunetra yang terbentuk selepas Perang Arab-Israel 1973. Netanyahu juga mengarahkan tenteranya mengebom aset-aset ketenteraan Syria secara besar-besaran untuk mengelak aset-aset ini jatuh ke tangan kumpulan pejuang Syria.

Sebahagian pihak melihat rampasan wilayah yang berlaku sebagai satu lagi kejayaan Israel melebarkan wilayahnya ke arah mencapai matlamat penubuhan ‘Israel Raya’. Sebahagian yang lain menyalahkan kumpulan pejuang atas kegagalan melindungi aset-aset ketenteraan ini daripada serangan Israel.

Namun, penulis melihat tindakan ini sebagai reaksi spontan Israel terhadap perubahan drastik yang berlaku. Israel is just being Israel - penjajah, perampas dan peraih kesempatan. Mana mungkin Israel melepaskan peluang yang terbuka ini ketika HTS sibuk menguruskan peralihan kuasa secara aman di Syria.

Pun begitu, rampasan dan serangan ini mengesahkan kebimbangan Israel terhadap keupayaan HTS mengancam keselamatan Israel lebih daripada rejim al-Assad. Berbanding HTS, rejim al-Assad mempunyai perjanjian rasmi dengan Israel sejak 1974 untuk mengekalkan status-quo. Gerak-geri Al-Assad pula sudah boleh dibaca berbanding HTS yang masih baharu. Penulis percaya HTS tidak akan membiarkan wewenang Israel ini berterusan. Jangan lupa, Emir HTS berasal dari Bukit Golan. Silap hari bulan Israel akan diusir dari wilayah Syria itu dalam keadaan terhina.

KESIMPULAN

Pihak yang menyelar kumpulan pejuang Syria perlu sedar bahawa rejim al-Assad telah lama hilang legitimasi untuk memerintah Syria selepas membunuh lebih setengah juta rakyatnya dan mengheret negara itu kancah peperangan sektarian dan proksi yang memporak-perandakan negara itu. Syria yang lemah dan berpecah takkan mampu menjadi pembela Palestin dan Masjid al-Aqsa. US dan Israel faham formula ini. Sebab itulah mereka sengaja membiarkan konflik dan perpecahan di Syria berpanjangan.

Kejayaan HTS menumbangkan rejim kuku besi al-Assad wajar disambut dengan kegembiraan. Usaha HTS untuk menyatukan kembali wilayah Syria dan membina Syria yang lebih inklusif wajar disokong. Syria mempunyai potensi besar menjadi salah satu negara Arab yang kuat dan berpengaruh jika berada di bawah pemerintahan yang adil dan kompeten. Bahkan, sejarah membuktikan Syria yang kuat adalah kunci kepada pembebasan Baitulmaqdis.

Berlaku adillah kepada rakyat Syria seperti pejuang-pejuang Palestin berlaku adil kepada mereka. Hamas dan Jihad Islami pun mengucapkan tahniah kepada rakyat Syria atas kejayaan mereka menumbangkan rejim al-Assad. Janganlah kita terlebih sudu dari kuah.

Kejatuhan rejim al-Assad adalah buah kepada kebangkitan Arab Spring; kebangkitan yang cuba digagalkan oleh US demi keselamatan Israel dan rejim diktator Arab demi kekal di tampuk kuasa. Hari ini, kedudukan rejim Zionis Israel dan rejim diktator Arab dicabar sekali lagi.

Pembantaian kali pertama rejim Zionis ke atas Gaza pada 2008-2009 dan kegagalan pemimpin Arab melindungi rakyat Palestin adalah antara pencetus kebangkitan Arab Spring pada tahun 2010.

Kini, genosid rejim Zionis ke atas Gaza pada 2023-2024 dan kegagalan pemimpin Arab melindungi rakyat Palestin sekali lagi mencetuskan kebangkitan yang menumbangkan rejim al-Assad.

Sejauh mana kejatuhan rejim al-Assad ini akan berevolusi menjadi Arab Spring 2.0 hanya Allah sahaja yang tahu.