Mengapa Jeda Kemanusiaan Gagal Disambung?

Oct 13, 2024

Jeda kemanusiaan di Gaza berakhir 30 November lalu. Sepanjang 7 hari jeda kemanusiaan berlangsung, 1091 trak bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Gaza dan 240 orang tahanan Palestin berjaya ditukar dengan 78 orang tawanan Israel di Gaza.

Ini tidak termasuk 27 orang tawanan warganegara Thailand (23), Rusia (3) dan Filipina (1) yang dibebaskan atas persetujuan berasingan.

Jeda yang bermula dengan empat hari, kemudian disambung dua hari dan kemudian sehari lagi, memang sudah dijangka tidak akan mampu bertahan. Salah satu faktornya adalah syarat pertukaran tahanan-tawanan yang dihadkan hanya kepada wanita dan kanak-kanak.

Israel menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 33 orang tawanan kanak-kanak di Gaza. Dalam pertukaran baru-baru ini, Hamas telah membebaskan 34 orang kanak-kanak termasuk Emily Hand, 8 tahun yang disangka telah terbunuh sebelum ini.

Senarai Israel menunjukkan terdapat dua orang lagi tawanan kanak-kanak - Kfir Bibas, 9 bulan dan Ariel Bibas, 4 tahun. Walau bagaimanapun, Hamas memaklumkan dua orang kanak-kanak ini termasuk ibu mereka, Shiri telah terkorban akibat serangan rejim Zionis ke atas Gaza.

Hamas telah menawar untuk menyerahkan jenazah mereka bertiga ketika pertukaran pada hari ke-7. Namun, Israel menolak tawaran tersebut. Sebab itulah hanya terdapat 8 orang tawanan dibebaskan pada hari terakhir jeda kemanusiaan tempoh hari.

Berdasarkan syarat pertukaran dan jumlah tawanan wanita dan kanak-kanak yang ada, jeda kemanusiaan memang hanya mampu bertahan setakat hari ke-7 sahaja melainkan kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat pertukaran yang baharu.

Pertukaran yang seterusnya melibatkan tawanan dari kalangan tentera. Sebahagian berpangkat rendah dan sebahagian lagi berpangkat tinggi.

Hamas hampir pasti menuntut nisbah pertukaran yang jauh lebih besar untuk tawanan tentera yang berpangkat tinggi kerana matlamatnya ialah membebaskan kesemua tahanan Palestin di dalam penjara Israel.

Bagi tawanan wanita dan kanak-kanak sebelum ini, nisbah yang dipersetujui adalah 1 berbalas 3. Kegagalan kedua-dua pihak untuk bersetuju dengan syarat-syarat pertukaran yang baru hampir pasti menjadi punca perang disambung semula.

Faktor lain yang menyebabkan jeda kemanusiaan ini tidak dapat bertahan lebih lama ialah kegagalan Israel mencipta optik yang menunjukkan bahawa merekalah yang memperoleh keuntungan yang terbesar daripada jeda kemanusiaan ini berbanding Hamas.

Tinjauan menunjukkan Hamas lebih berjaya menunjukkan merekalah yang lebih beruntung. Visual pertukaran tawanan yang memaparkan kemesraan para tawanan dengan anggota Briged al-Qassam serta visual sambutan meriah kepulangan tahanan Palestin di Tebing Barat dilihat lebih menonjol berbanding berita kepulangan tawanan Israel.

Ini antara lain disebabkan oleh polisi kerajaan Israel sendiri yang mengawal akses media kepada tawanan-tawanan yang dibebaskan. Mereka bimbang pendedahan tawanan akan memberi imej positif kepada Hamas seperti testimoni tawanan-tawanan yang telah Hamas bebaskan tanpa sebarang syarat sebelum ini.

Namun, faktor terbesar yang menyebabkan jeda kemanusiaan ini tidak dapat bertahan ialah retorik yang dimainkan oleh Perdana Menteri Israel, Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant yang acap kali menegaskan bahawa serangan akan tetap diteruskan sebaik jeda kemanusiaan tamat.

Netanyahu dan Yoav Gallant tidak bersetuju dengan jeda kemanusiaan dari awal-awal lagi. Mereka memang bertegas mahu meneruskan serangan. Mereka bersetuju dengan jeda kemanusiaan hanya selepas didesak oleh Amerika Syarikat (US) untuk mengurangkan tekanan ke atas US.

Sebab itulah kita melihat jeda kemanusiaan berlangsung dalam suasana yang sangat tidak menentu; seolah-olah ada usaha untuk sengaja menggagalkannya.

Pertukaran tawanan terencat seawal hari kedua selepas Hamas mendakwa Israel mungkir janji untuk membenarkan majoriti bantuan kemanusiaan dihantar ke wilayah utara Gaza.

Ada hari-hari yang Israel sengaja melengah-lengahkan pendedahan senarai nama tahanan Palestin yang akan dibebaskan, menyebabkan proses pertukaran tertunda sehingga waktu tengah malam.

Kita dapat melihatkan sendiri bagaimana lanjutan waktu jeda kemanusiaan semakin berkurang dari 2 hari kepada 1 hari. Ini sahaja sudah cukup untuk memberi bayangan jeda kemanusiaan tidak dapat bertahan lama.

Tapi bayangan yang paling jelas ialah ucapan Setiausaha Negara US, Anthony Blinken selepas pertemuan dengan Netanyahu dan penyertaan beliau dalam mesyuarat kabinet perang Israel kurang 24 jam sebelum jeda kemanusiaan tamat.

Dalam sidang media beliau, Blinken menyebut: “Sebelum Israel meneruskan operasi ketenteraannya, ia mesti menyediakan pelan perlindungan kemanusiaan bagi meminimumkan jumlah korban ke atas rakyat awam Palestin.”

“Israel mempunyai salah satu pasukan tentera yang paling canggih di dunia. Ia mampu meneutralkan ancaman yang ditimbulkan oleh Hamas sambil meminimumkan bahaya kepada lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah,” tambah beliau.

Ucapan ini secara tidak langsung menunjukkan US telah memberikan lampu hijau kepada Israel untuk menamatkan jeda kemanusiaan dan meneruskan perang. Rekod buruk Israel dalam bab perlindungan nyawa orang awam langsung tidak dihiraukan.

Sebab itulah kita lihat Israel kemudian menerbitkan peta Gaza yang telah dibahagikan kepada 2,300 blok. Peta tersebut didakwa boleh dijadikan panduan oleh penduduk di Gaza bagaimana mereka boleh menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa serangan tentera Israel.

Arahan akan diberikan melalui bahan edaran yang akan dijatuhkan menggunakan dron. Bahan edaran ini dilengkapi dengan kod QR untuk penduduk imbas bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Peta, bahan edaran dan semua cakap-cakap tentang pelan ini hanyalah wayang semata-mata untuk menghalalkan penerusan perang di Gaza.

Yang utama bagi mereka adalah lampu hijau telah pun diberikan. Nyawa penduduk Gaza tidak pernah berada dalam pertimbangan mereka.

Bak kata Gallant, “mereka adalah manusia-haiwan.” Justeru, tiada perikemanusiaan buat mereka.