Kembali
Ringkasan Garis Masa Pembebasan Syria Daripada 2011 sehingga 2024
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Jan 7, 2025
TARIKH 8 Disember tahun lalu merupakan hari yang mengejutkan buat ramai orang termasuk penduduk Syria sendiri. Hari terbabit merakamkan larinya Bashar al-Assad dan keluarga daripada bumi Syria ke Russia. Ia menandakan jatuhnya sebuah rejim al-Assad yang telah mentadbir bumi Syria selama 54 tahun bermula daripada Hafez al-Assad pada 1970 sehingga ke anaknya, Bashar.
Mereka berdua telah melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Syria dan menyebabkan jutaan menjadi pelarian. Pada zaman Hafez al-Assad, telah berlaku pembunuhan besar-besaran di kota Hamah sehingga dilaporkan seramai 40,000 orang terbunuh. Manakala, Bashar al-Assad telah membunuh lebih 500,000 penduduk di seluruh Syria dan seramai 13.7 juta penduduk menjadi pelarian sejak 2011 sehingga 2024.
Bermula 2011 sehingga 2014, disebabkan Bashar al-Assad menggunakan senjata dan peluru hidup untuk mendiamkan rakyatnya, penduduk terpaksa mengangkat semula senjata bukan untuk berperang secara total, sebaliknya hanya untuk mempertahankan diri, keluarga, kabilah dan kawasan tempat tinggal. Hal ini menyebabkan munculnya ratusan fraksi bersenjata dalam kalangan pembangkang.
Pada tahun berikutnya, Al-Assad boleh dikatakan kalah teruk disebabkan penguasaan pembangkang di utara barat Syria dan selatan, ditambah pula kemunculan ISIS daripada arah timur Syria.
Pada 2020, pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) ditamatkan dengan kurangnya penguasaan dalam Syria dan matinya Abu Bakar al-Baghdadi manakala semakin kurang serangan kerana adanya Rundingan Moscow yang menjanjikan gencatan senjata di Idlib. Hasilnya ditubuhkan kerajaan interim dan dibantu pihak Turkiye daripada segi ketenteraan bagi memastikan gencatan senjata.
Pada 2020 sehingga 2024, kerajaan interim di Idlib mengumpulkan hampir semua pecahan bersenjata di bawah payung sebuah kerajaan yang diketuai Abu Muhammad al-Goulani. Daripada segi ketenteraan, semua pecahan wajib bergabung dan diadakan sebuah bilik gerakan yang bernama Fathu Mubin.
Semua keputusan ketenteraan dan peperangan diputuskan dalam bilik berkenaan. Setiap pecahan juga mesti menghantar tentera-tentera mereka untuk menyertai akademi ketenteraan yang diselia oleh anggota tentera Kumpulan Pembebasan Syria (FSA) dan Turkiye. Segala ilmu-ilmu berkaitan ketenteraan dipelajari daripada akademi tersebut.
Pada 2024, Al-Assad alami kekurangan kekuatan ketenteraan. Pihak Hizbullah memberikan tumpuan kepada selatan Lubnan, Iran pula dikenakan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Israel akibat serangan yang dilakukan ke atas Israel dan Rusia pula menumpukan kekuatannya di negara sendiri disebabkan perang ke atas Ukraine yang masih belum tamat.
Pada 26 Disember, terdapat serangan ke atas selatan sempadan Idlib daripada pihak tentera Al-Assad. Hal ini menyebabkan Abu Muhammad al-Golani melaksana operasi ketenteraan pada keesokan harinya untuk membalas serangan. Sebab itulah dinamakan operasi bermula hari terbabit Rad’u al-U’dwan yang bermaksud menolak keganasan.
Bermula daripada Aleppo, Hamah dan Hims serta Dara’ satu demi satu daerah Syria dibebaskan oleh tentera kemerdekaan daripada Idlib. Sehingga 8 Disember, dilaporkan Al-Assad meninggalkan Syria. Sehingga tarikh keramat tersebut, hampir satu penduduk Syria telah pulang. Para ulama daripada Kesatuan Ulama Islam mengucapkan tahniah kepada rakyat Syria atas pengorbanan dan perjuangan yang dilakukan demi menegakkan keadilan dan kesaksamaan.