Sebaik-baik Ribath Adalah Di Asqalan (Gaza)!

Oct 13, 2024

Seperti mana yang kita maklum, banyak hadis sahih yang menyebut tentang Baitul Maqdis dan kisah-kisah berkaitannya di akhir zaman. Ini adalah perkongsian tentang salah satu hadis sahih yang secara khusus menyebutkan satu tempat yang sampai sekarang dikekalkan namanya dari zaman Rasulullah SAW sehingga ke zaman sekarang, walaupun ia telah dikuasai oleh penjajah Zionis. Nama tempat tersebut adalah Asqalan (عسقلان) atau sekarang ditulis dalam peta sebagai Ashkelon. 

Hadisnya adalah seperti berikut:

عن ابن عباس رضي الله عنهما أنَّه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

(أوَّلُ هذا الأمر نُبُوةٌ ورحمة، ثم يكون خلافة ًورحمة، ثم يكون مُلكًا ورحمة، ثم يتكادمون عليه تكادُمَ الحُمُر، فعليكم بالجهاد، وإنَّ أفضل جهادكم الرباط، وإنَّ افضل رباطكم عسقلان)

Daripada Ibnu Abbas ra berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Awal perkara ini (sejarah penguasaan/kerajaan umat Islam) adalah zaman kenabian dan rahmah, kemudian zaman khilafah dan rahmah, kemudian zaman beraja dan rahmah, kemudian zaman umat saling bergaduh sesama sendiri, seperti binatang himar berlanggar sesama sendiri, wajib ke atas kamu melaksanakan Jihad, sebaik-baik jihad dengan Ribath (bertahan dan kekal di tempat perjuangan untuk melawan musuh), dan sebaik-baik Ribath adalah di Asqalan.” (Riwayat at-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir, disahihkan oleh al-Bani)

Apabila diperhalusi hadis ini, kita dapati hadis ini memberitahu kepada kita tentang sebuah bandar Palestin yang dikenali (sejak zaman dahulu lagi) dengan nama Asqalan, di mana ia adalah tempat bagi sebaik-baik Ribath.

Hadis ini juga menyatakan Ribath di Asqalan berlaku di peringkat terakhir selepas beberapa perubahan peringkat kekuasaan dan politik orang Islam dan ia berlaku juga pada zaman hilangnya Rahmah, berleluasanya kezaliman, berlakunya kerosakan dan penjajahan dan kehilangan pemilikan orang Islam di atas Bumi Suci Palestin, dan semua ini menuntut kepada jihad dan ribath oleh umat Islam.

Di bawah penulis akan menerangkan peringkat-peringkat kekuasaan dan politik orang Islam yang berbeza-beza berdasarkan dalam hadis sahih di atas:

Peringkat Pertama: Zaman Kenabian dan Rahmah

Ia adalah peringkat di mana adanya Nabi Muhammad saw adalah penguasa yang bersifat rahmah. Peringkat ini berakhir dengan wafatnya baginda saw.

Peringkat Kedua: Zaman Khilafah ar-Rasyidah

Ia adalah peringkat Khulafa’ (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali ra) menjadi penguasa dengan meneruskan legasi dan ajaran Rasulullah saw, dan adanya Rahmah. Zaman ini telah pun tamat.

Peringkat ketiga: Zaman Raja-raja Diktator

Dalam hadis lain, ia juga disebut dengan dengan peringkat pemerintahan raja-raja A’dh (yang bersifat diktator atau pemerintahan mutlak), seperti yang direkodkan oleh Nu’man bin Basyir: Sabda Rasulullah saw:

تكون النبوة فيكم ما شاء الله أنْ تكون، ثم يرفعها الله تعالى، ثم تكون خلافةٌ على منهاج النبوة ما شاء الله أنْ تكون، ثم يرفعها الله تعالى، ثم تكون مُلكًا عاضًا، فتكون ما شاء أنْ تكون، ثم يرفعها الله تعالى، ثم تكون مُلكًا جبرية، فيكون ما شاء الله أنْ يكون، ثم يرفعها الله تعالى، ثم تكون خلافة على منهاج النبوة، ثم سكت ...

“Adanya (zaman pemerintahan) kenabian saw dalam kalangan kamu selagi mana Allah mengizinkannya, kemudian Allah akan mengangkatnya (mencabutnya), kemudian zaman itu akan diikuti dengan (zaman pemerintahan) Khilafah yang memerintah dengan ajaran Nabi Muhammad SAW selagi mana Allah mengizinkannya, kemudian Allah akan mengangkatnya (mencabutnya), kemudian zaman itu akan diikuti dengan (zaman pemerintahan) raja A’d (pemerintahan mutlak yang tidak boleh dicabar) selagi mana Allah mengizinkannya, kemudian Allah akan mengangkatnya (mencabutnya), kemudian zaman itu akan diikuti dengan (zaman pemerintahan) raja Jabariah (pemerintah yang menggunakan kekerasan dan menghalang kebebasan rakyatnya), kemudian Allah akan mengangkatnya (mencabutnya), kemudian akan ada khilafah(pemerintahan) berlandaskan ajaran Nabi Muhammad SAW, kemudian Nabi Muhammad SAW diam...” Hadis ini sanadnya dihasankan (diterima) oleh al-Bani.

Ringkasan sejarah pemerintahan umat Islam daripada hadis ini adalah seperti berikut: 

Zaman Nabi > Zaman Khilafah Rasyidah > Zaman raja A’d > Zaman raja Jabariah > Zaman Khilafah Berdasarkan Hidayah Nabi Muhammad saw > Nabi Muhammad SAW kemudiannya diam)

Kembali pada hadis utama yang ingin diperhalusi dalam makalah tentang hadis Ashkelon ini, pada peringkat ketiga ini adalah peringkat raja-raja A’dh yang datang selepas zaman pemerintah Khilafah ar-Rasyidah, pemerintahan raja-raja A’dh adalah bermula dari zaman Khilafah Umayyah, Khilafah Abbasiyah, dan yang terakhir Khilafah Uthmaniah.

Pada peringkat ini, masih ada sifat Rahmah seperti yang disebut dalam hadis:

ثم يكون مُلكًا ورحمة

“kemudian zaman beraja dan rahmah”

Peringkat zaman ini berakhir pada awal abad ke-20.

Peringkat Keempat: Zaman umat bergaduh sesama sendiri

Ia adalah zaman raja-raja yang menggunakan kekerasan dan halang kebebasan, di peringkat rakyat pula, mereka bergaduh sesama sendiri untuk mendapatkan kekuasaan pemerintahan dengan rampasan-rampasan kuasa tentera dan pelbagai lagi konflik.

Era ini telah bermula sejak tamatnya era pemerintahan kerajaan Uthmaniyah pada awal abad ke-20 dan ia berterusan sehinggalah ke sekarang.

Pada era ini khususnya, zaman sekarang, Nabi Muhammad saw menyebutkan kepada kita tentang Asqalan di Palestin, dan memerintahkan kepada kita untuk berjihad, dan menekankan bahawa sebaik-baik jihad adalah Ribath, dan sebaik-baik Ribath adalah di Asqalan!

Ini adalah sesuatu yang menarik perhatian, seolah-olah ia adalah sesuatu perkhabaran perkara ghaib tentang masa hadapan dari Rasulullah sekitar 1444 tahun dahulu! 

Palestin telah dijajah oleh Zionis, dan mereka penjajah telah mendirikan negara mereka secara haram atas tanah Palestin pada tahun 1948, mereka telah mengusir ratusan ribu orang Palestin dari tanah asal mereka, dalam keadaan yang penuh ujian dan musibah ini, Nabi Muhammad saw memerintahkan untuk berjihad dan bertahan dalam perjuangan ini di kawasan yang bernama Asqalan di Palestin:

فعليكم بالجهاد، وإنَّ أفضل جهادكم الرباط، وإنَّ أفضل رباطكم عسقلان

“...wajib ke atas kamu melaksanakan Jihad, sebaik-baik jihad dengan Ribath (bertahan di tempat perjuangan untuk melawan musuh), dan sebaik-baik Ribath adalah di Asqalan.”

Kenapa Asqalan? Kerana Asqalan adalah titik permulaan perjuangan.

Umum diketahui bahawa Asqalan salah sebuah negara yang dijajah oleh Zionis sejak tahun 1948, ia terletak di utara Gaza yang dijajah. Hal ini menyebabkan mustahil Mujahidin untuk pertahankan tempat tersebut.

Tetapi hadis ini dengan jelas menjelaskan secara khusus Asqalan:

“Sebaik-baik Ribath kalian adalah di Asqalan”

Dengan ini ia memberikan isyarat jelas bahawa di sanalah akan ada bermula titik permulaan pembebasan Palestin.

Kita boleh memahami lokasi Asqalan yang disebutkan dalam hadis ini dengan dua sudut:

Sudut pandang pertama:

Lokasi Asqalan yang disebutkan dalam hadis termasuk dalamnya kawasan Gaza. Gaza dan Asqalan kedua-duanya kawasan bersebelahan dan berdekatan, berkongsi lautan yang sama; lautan Mediterranean, seolah-olah ia adalah tempat yang sama.

Oleh itu, tidaklah jauh untuk mengatakan bahawa maksud hadis yang menyebutkan lokasi Ribath di Asqalan itu adalah termasuk dalamnya kawasan utara Gaza.

Gaza sendiri sememangnya tiada penafian daripada sesiapa bahawa ia adalah tempat yang menyaksikan perjuangan, Ribath, kecekalan, kesabaran penduduk Muslimin Mujahidin yang tinggal di sana. Bahkan mereka menyediakan sebaik-baik persediaan untuk membebaskan tanah air, membalas serangan musuh setiap kali berlakunya peperangan, mereka berjuang dan terus berjuang tanpa melihat ke belakang.

Penduduk awam di sana juga menyokong jalan perjuangan ini dan membantu tentera-tentera pembebasan. Jadi, tidak salah untuk memilih maksud Asqalan yang disebutkan dalam hadis ini adalah di Gaza. Ini adalah berita baik dari Nabi Muhammad saw.

Dan imam Syafie sendiri sering kali ditulis bahawa beliau berasal daripada Gaza, tetapi dalam riwayat yang lain beliau ada juga dikatakan berasal daripada Asqalan.

Tahniah kepada pejuang-pejuang di bumi Asqalan, anda adalah apa yang disebutkan dalam hadis baginda SAW:

وإنَّ أفضل رباطكم عسقلان

“Sebaik-baik Ribath kalian adalah di Asqalan”

Sudut Pandang Kedua:

Asqalan yang disebut dalam hadis itu adalah kawasan Asqalan sendiri, luar dari kawasan Gaza. Gaza adalah tempat yang dikenali sejak dahulu sebagai Gaza satu tempat yang berbeza dengan Asqalan. 

Asqalan yang hari ini ditulis dalam peta negara haram Zionis, Ashkelon yang dirampas pada tahun 1948. 

Ini juga merupakan berita gembira kepada para pejuang dan murabitin, kerana hadis ini memberikan isyarat bahawa mereka ini akan mempertahankan Asqalan pula. Hal ini menjadikan saya memberikan jangkaan akan tercetus perang dalam masa yang terdekat di sana. 

Daripada perang ini, akan bebasnya Gaza dan daerah-daerah sekeliling Gaza, termasuk Asqalan, selepas pertempuran ganas dengan tentera Zionis sehingga menyebabkan mereka dan pendatang haram Yahudi mengosongkan tanah jajahan mereka.

Akan terhasillah berita gembira Rasulullah saw dari hadis ini. Pejuang-pejuang pembebasan Palestin akan bertapak dan bertahan di Asqalan sebagai permulaan dan persediaan pembukaan Baitul Maqdis dan seterusnya membebaskan seluruh Palestin, yang disertai juga oleh pejuang-pejuang dari Baitul Maqdis dan Aknaf Baitul Maqdis (sekeliling Baitul Maqdis).