Serangan Hamas TIdak Berlaku Dalam Vakum!

Oct 13, 2024

“Penting untuk kita iktiraf bahawa serangan Hamas tidak berlaku dalam vakum,” jelas Antonio Guterres ketika berucap dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada 24 Oktober yang lalu.

Ucapan ini telah mengundang kemarahan Zionis Israel. Menteri Luar Israel, Eli Cohen serta-merta batalkan mesyuarat beliau dengan Guterres. Wakil Israel di PBB, Gilad Erdan pula desak Guterres supaya letak jawatan.

Mengapa Zionis marah sangat dengan kenyataan ini? Apa yang mereka bimbangkan? Mengapa kenyataan tersebut dilihat sebagai ancaman kepada Zionis Israel?

Bila Guterres kata ‘serangan Hamas tidak berlaku dalam vakum’ maksudnya serangan Hamas adalah tindak balas kepada tindakan terdahulu Zionis dan bukan serangan yang berlaku tanpa sebarang punca dan sebab. 

Zionis berang dengan kenyataan ini kerana ia akan membuka pekung mereka sepanjang 75 tahun penjajahan di Palestin (1948-2023).

Sepanjang 75 tahun penjajahan Zionis di Palestin, mereka telah melakukan pelbagai kezaliman ke atas rakyat Palestin. 

Penubuhan negara Israel diawali dengan siri-siri pembunuhan besar-besaran seperti di Deir Yassin, Beit Daras, Al-Sheikh, Dawayma dan Masjid Dahmash. Ini diikuti dengan pengusiran lebih dua pertiga penduduk Palestin (hampir 800,000) susulan Perang Arab-Israel 1948.

Resolusi 194 PBB yang diluluskan pada Disember 1948 menggesa Israel membenarkan pelarian Palestin untuk pulang ke kampung halaman mereka. Malangnya gesaan ini tidak pernah diendahkan oleh rejim Zionis. 

Akibatnya, ramai pelarian Palestin masih meringkuk di kem-kem pelarian Palestin sama ada di Tebing Barat, Gaza, mahu pun di negara-negara Arab jiran (Jordan, Syria dan Lubnan). Jumlah mereka kini sudah mencecah 6.4 juta orang. Ini tidak termasuk hampir 3 juta orang lagi yang tidak berdaftar dengan UNRWA.

Perang Arab-Israel 1967 berakhir dengan Tebing Barat dan Gaza jatuh ke bawah penguasaan Israel. Sejak itu bermulalah siri-siri kezaliman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di dua wilayah ini pula.

Di Tebing Barat, tanah-tanah rakyat Palestin dirampas untuk pembinaan penempatan baru bagi pendatang Zionis. Kebun-kebun zaitun dan padang ragut ternakan sengaja dijadikan zon ketenteraan, sekaligus memutuskan sumber pendapatan rakyat Palestin. Rumah-rumah dirobohkan atas alasan pembinaan dilakukan tanpa permit.

Selain itu, rejim Zionis turut membina banyak pos pemeriksaan tentera dan mengenakan sekatan jalan raya untuk menyukarkan pergerakan penduduk. Rakyat Palestin terpaksa beratur panjang dan menunggu berjam-jam untuk melepasi sekatan ini. 

Terdapat banyak kes rakyat Palestin dimalukan dan dilayan dengan biadab sewaktu pemeriksaan. Sebahagian dipaksa menanggalkan hampir semua pakaian atas alasan keselamatan. Ada juga kes wanita Palestin terpaksa melahirkan anak dan pesakit mati di pos pemeriksaan kerana dipaksa menunggu terlalu lama.

Tidak cukup dengan itu, rejim Zionis juga sering melakukan serbuan rumah ke rumah terutama pada sebelah malam untuk melakukan penahanan secara rambang. Sebahagian tahanan dilepaskan selepas beberapa hari atau minggu manakala sebahagian yang lain ditahan bertahun-tahun tanpa sebarang pendakwaan.

Kesan daripada polisi ini, Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin menganggarkan sejuta rakyat Palestin pernah meringkuk di dalam penjara Zionis daripada tahun 1967-2021. Daripada jumlah ini, 17,000 adalah wanita dan 50,000 adalah kanak-kanak.

Setakat September 2023, seramai 5,200 rakyat Palestin berada di dalam penjara Zionis. 170 orang daripadanya adalah kanak-kanak (18 tahun ke bawah) dan 33 orang lagi wanita. 1,264 orang ditahan tanpa bicara sementara 559 orang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana terlibat dalam perjuangan bersenjata.

Keadaan lebih buruk lagi di Gaza. Walaupun tiada penempatan atau tentera Zionis di sana, Gaza telah dikenakan sekatan darat, laut dan udara sejak tahun 2007. Bekalan makanan, air, dan elektrik dicatu oleh rejim Zionis. Nelayan hanya boleh menangkap ikan sejauh 25 batu nautika sahaja. Tiada pelabuhan mahupun lapangan terbang di Gaza. Sebab itulah Gaza digelar sebagai penjara terbesar di dunia.

Sekatan tersebut telah menyebabkan kadar kemiskinan dan pengangguran di Gaza masing-masing mencecah 81% dan 47% pada tahun 2022. Kadar ketidakselamatan makanan mencecah 64% memaksa 80% daripada populasi Gaza bergantung kepada bantuan kemanusiaan.

Tidak cukup dengan itu, rejim Zionis telah menyerang Gaza secara besar-besaran sebanyak 4 kali dalam tempoh 13 tahun - 2008, 2012, 2014 dan 2021. Dalam tempoh tersebut hampir 6,000 orang penduduk Gaza telah terkorban.

Ini hanyalah sebahagian kecil daripada penderitaan hidup rakyat Palestin di bawah penjajahan Zionis. Peritnya hanya mereka sahaja yang tahu. 

Justeru, tidak hairanlah sebahagian nekad mengambil jalan untuk membebaskan diri daripada kezaliman penjajahan ini melalui penentangan bersenjata. Mereka lebih rela mati kerana berjuang membebaskan tanah air daripada mati kelaparan dalam keadaan penuh hina. 

Sejarah membuktikan penjajahan hanya akan berakhir apabila rakyat yang dijajah bangkit menentang penjajahan yang dipaksakan ke atas tanah air mereka; sepertimana yang berlaku ke atas persekutuan tanah Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya. 

Jadi, tidak hairanlah jiwa bangsa yang merdeka boleh memahami aspirasi rakyat Palestin. Bak kata mendiang Nelson Mandela, tokoh penentang dasar apartheid kulit putih di Afrika Selatan, ‘kemerdekaan kita tidak lengkap tanpa kemerdekaan Palestin.’