Taufan al-Aqsa: Tamparan Buat Zionis dan Dunia Islam

Oct 13, 2024

Pada 7 Oktober 2023, jam 6.30 pagi waktu tempatan (11:30 pagi waktu Malaysia), kumpulan pejuang Palestin di Gaza telah melancarkan serangan roket ke arah Israel dan menyerbu penempatan-penempatan pendatang Zionis di sekitar sempadan Gaza di selatan Israel.

Komander Briged al-Qassam, Muhammad Deif dalam kenyataan rasmi menyebut serangan dilancarkan sebagai tindak balas kepada tindakan berterusan rejim Zionis menceroboh Masjid al-Aqsa, membunuh rakyat Palestin di Tebing Barat dan mengekalkan sekatan ke atas Gaza.

"Justeru, kami memutuskan untuk menamatkan semua jenayah pendudukan Israel supaya Zionis memahami bahawa zaman mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa dikenakan sebarang hukuman telah berakhir," tegas Muhammad Deif.

Serangan ketenteraan tersebut diberi nama 'Operasi Taufan al-Aqsa.' Serangan turut disokong dan disertai oleh kumpulan pejuang Palestin yang lain termasuk Briged Saraya al-Quds daripada kumpulan Jihad Islami.

Operasi yang menggunakan serangan darat dan udara (roket, dron dan paragliding) tersebut telah menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang tentera Zionis terbunuh dan 35 orang rakyat Israel berjaya ditawan. Beberapa pangkalan tentera Zionis juga telah berjaya dikuasai dan kelengkapan tentera dirampas.

Serangan ini memberi tamparan besar kepada rejim Zionis yang selama ini terkenal dengan kepakaran mereka dalam bidang perisikan dan antara tentera yang terbaik di dunia.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataan beliau mengisytiharkan Israel berada dalam situasi perang (#Israelatwar). Beliau berjanji akan melancarkan serangan balas besar-besaran untuk menghukum Briged al-Qassam dengan hukuman yang tak pernah ia jangkakan.

Tentera Zionis kemudian melancarkan serangan balas yang diberi kod nama 'Operasi Pedang Besi'. Dalam waktu yang singkat angka korban di Gaza mencecah 160 orang dan 1,000 orang cedera.

Operasi turut mensasarkan kediaman awam dan hospital. Setakat 24 jam, 10 buah apartment tinggi di Gaza telah ranap dalam serangan pihak rejim. Justeru, tidak hairanlah angka korban meningkat dengan begitu mendadak.

Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah hampir kesemua mengecam operasi yang dilakukan oleh Briged al-Qassam tanpa sedikit pun merujuk kepada penjajahan, amalan apartheid dan kezaliman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Hanya Qatar, Iran dan Hezbollah yang berani meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu rejim Israel ekoran penjajahannya ke atas Palestin. Mesir, Turki, Arab Saudi dan UAE pula sekadar mendesak agar kedua-dua belah pihak mengelak daripada mengambil tindakan terburu-buru yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Setakat 24 jam, angka korban dianggarkan mencecah 232 orang di pihak Palestin dan 250 di pihak Zionis. Ini kali pertama angka korban di pihak Zionis mencecah angka sebesar ini. Kali terakhir ketika Perang Arab-Israel 1973 yang juga dikenali sebagai Perang Yom Kippur atau Perang Oktober.

Operasi ketenteraan Briged al-Qassam kali ini mengingatkan banyak pihak kepada Perang Oktober 1973 yang menyaksikan tentera Mesir dan Syria melakukan serangan mengejut ke atas Israel ketika hari perayaan Yahudi. Inilah perang yang telah membolehkan Mesir mengambil-alih semula Semenanjung Sinai yang jatuh ke tangan Israel ketika Perang Arab-Israel 1967. Apakah Briged al-Qassam juga akan mampu mengambil-alih sebahagian daripada wilayah Palestin yang dirampas oleh Israel?

Walaupun berjaya meraih kejayaan yang besar pada hari pertama, Briged al-Qassam dijangka akan menghadapi cabaran yang lebih besar pada hari-hari yang mendatang. Israel dijangka hampir pasti akan melancarkan serangan darat besar-besaran untuk menguasai semula wilayah selatannya. Ketika ini pertempuran masih berlangsung di antara Briged al-Qassam dengan tentera rejim di lebih 20 lokasi di selatan Israel.

Dalam pada itu, Presiden Joe Biden telah meluluskan bantuan ketenteraan kecemasan kepada Israel bernilai 8 bilion USD (RM38 bilion). Ini hampir pasti akan membantu rejim Zionis untuk meningkatkan operasi ketenteraannya tanpa perlu risau tentang kos yang perlu ditanggung.

Namun, ia tidak akan semudah itu. Briged al-Qassam pasti sudah mempunyai perancangan yang rapi sebelum mengambil risiko sebesar ini. Reputasi mereka ketika mengekang serangan darat Zionis ketika Perang Asfim Ma'akul pada tahun 2014 akan dipertaruhkan. Rakyat Israel yang dijadikan tawanan juga hampir pasti akan mengikat tangan Zionis daripada melakukan serangan secara melulu ke atas Gaza. 

Pada waktu yang sama, Briged al-Qassam menggesa rakyat Palestin di Tebing Barat dan di dalam wilayah Israel serta pejuang-pejuang Palestin di negara-negara Arab jiran khususnya Lubnan untuk turut melancarkankan kebangkitan dan serangan ke atas penjajah Zionis. Ini akan memberi tekanan kepada rejim Zionis daripada pelbagai penjuru sepertimana ketika Perang Saif al-Quds pada Mei 2021.

Operasi Briged al-Qassam ini boleh juga dilihat sebagai tindak balas kepada normalisasi hubungan antara rejim Israel dan negara-negara Arab sejak kebelakangan ini. Terbaru, Arab Saudi dijangka akan menjadi negara Arab yang seterusnya menjalin hubungan dengan negara haram itu.

Tindakan proaktif Briged al-Qassam ini juga adalah tamparan kepada negara-negara Arab dan Islam untuk menyatakan dengan tegas dan jelas pendirian mereka terhadap perjuangan kemerdekaan Palestin. Mereka tidak lagi boleh berdolak-dalik dan bersembunyi di sebalik slogan dan retorik politik tanpa sebarang tindakan yang konstruktif.

Sudah tiba masanya untuk penjajahan Zionis di Palestin ditamatkan. Jika tidak semakin banyak nyawa yang tidak berdosa akan menjadi korban.