Kembali
Taufan Al-Aqsa Terus Pancarkan Harapan, Kesucian Islam Selepas Setahun
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Oct 8, 2024
Berlalu setahun Taufan al-Aqsa. Allah Yang Maha Berkuasa layak dan mampu untuk melenyapkan musuh-musuhNya dalam sekelip mata seperti yang berlaku pada Firaun pada zaman Nabi Musa AS, Kaum Nabi Nuh yang ingkar, kaum Nabi Lut yang songsang dan pelbagai lagi kisah seperti yang direkodkan dalam al-Quran.
Tetapi Allah mentakdirkan umat Muhammad SAW untuk merasai pahala berjihad dijalanNya dalam memerangi musuh-musuh Allah. Daripada itu, seperti yang disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat 140, supaya Allah mengetahui siapa yang beriman dalam kalangan umat dan mengambil dalam kalangan yang sama sebagai syuhada’.
Di samping itu, Taufan al-Aqsa secara langsung memancarkan nilai-nilai Islam yang ditunjukkan oleh penduduk Gaza. Mereka mengadakan halakah-halakah tahfiz al-Quran dalam setiap kem pelarian supaya masa-masa yang berlalu dipenuhi dengan keberkatan al-Quran.
Mulut mereka sentiasa memuji Allah dan menegaskan segala ujian yang dihadapi adalah pengorbanan demi perjuangan pembebasan al-Aqsa. Mereka sentiasa turut mengadakan solat-solat jemaah walaupun dron-dron tentera Zionis sentiasa meninjau di atas kepala.
Jelas ditunjukkan di sini bahawa kematian bukanlah penghalang untuk mereka menjadi hamba-hamba yang soleh dan berani di jalanNya walaupun selepas setahun menghadapi ujian yang amat berat.
Dalam pada itu, setahun ini jelas turut menunjukkan sebilangan golongan pemimpin yang beragama Islam dan berbahasa Arab, tetapi bersama-sama melakukan jenayah terhadap penduduk Palestin. Negara-negara Arab ini bahkan masih meneruskan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis dan urusan perniagaan.
Lebih teruk, mereka juga mempertahankan negara Zionis ketika ia diserang oleh Iran tempoh hari dengan menggunakan sistem pertahanan udara. Ekoran itu, bagi meningkatkan lagi keselamatan negara Zionis penduduk awam tidak dibenarkan secara terbuka mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan sokongan kepada Gaza.
Sehubungan itu, walaupun dalam negara-negara Arab tidak dibenarkan secara terbuka menunjukkan sokongan, Allah takdirkan jutaan penduduk dunia di iklim lain untuk tunjukkan sokongan Palestin dan mereka terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan bahasa.
Mereka kebanyakannya tidak mempunyai pendedahan langsung berkenaan Palestin sebelum ini, tetapi disebabkan kesedaran dan usaha mereka untuk mendalami isu Palestin, mereka memberikan sepenuh jiwa dan tenaga mereka untuk mengangkat isu Palestin ke tahap yang lebih tinggi.
Khususnya dalam usaha mengadakan demonstrasi di jalanan dan boikot terhadap produk dan perkhidmatan daripada syarikat-syarikat dari Israel atau syarikat-syarikat yang secara terbuka membantu entiti rejim Zionis sama ada dari sudut ketenteraan atau pembinaan penempatan haram di Tebing Barat dan Baitul Maqdis.
Sementelahan itu, di peringkat politik antarabangsa turut telah menunjukkan sesuatu yang positif untuk mengangkat hak pembebasan negara Palestin. Baru-baru ini di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebanyak 30 negara termasuk Malaysia telah berjaya mengusulkan resolusi bagi menamatkan penjajahan di Palestin. Hasil undian mendapati sebanyak 124 negara menyokong, 14 menolak dan 43 berkecuali.
Jumlah sokongan yang didapati dalam undian ini menunjukkan sebahagian daripada penduduk dunia pada ketika ini bukan sekadar membantah pembunuhan beramai-ramai di Gaza tetapi mahu penindasan dan penjajahan ke atas seluruh Palestin dihentikan secara total.
Tidak cukup sekadar sokongan politik antarabangsa untuk Palestin, sokongan ketenteraan daripada beberapa negara Arab (Yaman, Iraq dan Selatan Lubnan) dan Iran untuk menghentikan penindasan ke atas Gaza turut semakin serius.
Baru-baru ini Iran telah melancarkan sekitar lebih 200 roket balistik menyerang pelbagai sasaran termasuk pangkalan pesawat udara tentera Zionis. 40% daripada serangan tersebut berjaya sampai pada sasaran.
Beberapa hari seterusnya kumpulan pejuang dari Iraq pula lancarkan serangan dron menyasarkan sebuah kem tentera di Bukit Golan. Serangan tersebut mengakibatkan dua orang terbunuh dan sekitar lebih 20 orang cedera.
Selain itu, minggu pertama perang darat di selatan Lubnan menunjukkan pasukan darat rejim Zionis tersungkur lagi seperti di Gaza. Dilaporkan sehingga kini lebih 20 askar terkorban dan sekitar 10 aset kenderaan dilumpuhkan.
Manakala nyawa ketenteraan daripada pihak pejuang-pejuang Gaza seolah-olah semakin kuat. Pada minggu lepas sahaja mereka berjaya melumpuhkan sekitar 20 aset kenderaan di Rafah dan Khan Younis.
Kesimpulannya rejim Zionis turut mengalami kerugian dan kekalahan daripada segi sokongan antarabangsa, ekonomi dan ketenteraan. Entiti ini sepanjang sejarahnya tidak pernah melalui peperangan yang panjang. Jangan pernah putus harapan terhadap pembebasan Palestin.