Kembali
Telah Bermula Fasa Pertama Kekalahan Rejim Zionis
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Dec 6, 2024
Telah Bermula Fasa Pertama Kekalahan Rejim Zionis
al-Quran apabila menyebutkan tentang pembebasan Baitulmaqdis, ia tidak menyebutkan bahawa akan berlaku jumlah kematian atau kecederaan yang tinggi dalam kalangan musuh, tetapi apa yang dinyatakan sebagai fasa pertama adalah dengan memalukan musuh.
Seperti yang dinyatakan dalam ayat berikut, “apabila datangnya janji yang terakhir, (Kami datangkan musuh-musuh Allah) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan) untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama, dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” (Surah al-Israk: 7)
Para ulama seperti Syaikh Sya’rawi, Syaikh Solah al-Khalidi, Dr Ahmad Naufal dan ramai lagi menyebutkan bahawa “memuramkan muka kamu” seperti yang disebutkan dalam ayat bermaksud memalukan maruah musuh sehingga tiada penghormatan dan kemuliaan bagi mereka. Ia turut merupakan fasa pertama sebelum fasa seterusnya iaitu pembebasan Masjid al-Aqsa seperti ia dibebaskan pada kali pertama dan fasa terakhir iaitu meruntuhkan segala keangkuhan dan kekuatan pihak musuh.
Dalam hal ini, fasa pertama yang diterangkan sedang berlaku pada realiti sekarang. Pada Oktober yang lalu sahaja, jumlah isi kandungan yang menyokong Palestin sahaja melebihi 109 bilion. Bahkan al-Jazeera menyatakan lebih 70% isi kandungan dalam mana-mana platform pada hari ini menyokong Palestin. Manakala kandungan yang menyokong rejim Zionis ialah tidak organik dan berbayar.
Seolah-olahnya norma hari ini dalam kalangan masyarakat tanpa mengira agama, bahasa dan bangsa menyokong Palestin dan mengutuk kekejaman Zionis. Pada ketika ini, hampir setiap rumah telah disebut dalamnya nama Palestin dan perjuangan rakyatnya untuk kebebasan. Banyak bangunan sama ada dalam negara Malaysia atau di kebanyakan negara telah diangkat di atasnya bendera Palestin sebagai sokongan.
Jutaan manusia berkumpul di jalan raya menyatakan sokongan mereka untuk Palestin dan mengeji serta mengutuk rejim Zionis di atas kelakuan mereka sepanjang tahun.
Baru-baru ini di Amstardam penyokong bola sepak Zionis dengan beraninya mengoyakkan dan merampas bendera Palestin lalu mereka dibelasah ramai-ramai oleh penduduk di sana. Bukan itu sahaja, terbaru di Perancis, diadakan perlawanan sepak antara pasukan bola kelab daripada Israel di sebuah stadium dengan kapasiti sekitar 80,000 penonton, tetapi hanya 100 orang penyokong sahaja yang hadirkan diri. Ini menunjukkan mereka bahkan untuk keluar daripada negara haram mereka pun menjadi sesuatu yang menakutkan.
Daripada aspek global pula, 124 negara yang terikat dengan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa harus menangkap Netanyahu dan banyak negara besar seperti Italy, Spain, Belanda dan pelbagai bersedia untuk itu. Perkara ini tidak pernah berlaku sepanjang sejarah moden Palestin. Perdana menteri Zionis yang dahulunya dibantu, disanjung dan dilindungi barat, tetapi ini kini diancam untuk ditangkap sekiranya mendarat di negara-negara yang bersedia melaksanakan perintah Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Daripada sudut ketenteraan pula, dahulu rejim Zionis dakwa diri mereka ialah yang paling bermoral, sekarang ini mereka sendiri yang membuktikan diri mereka secara terbuka merekalah yang paling buruk moral dan tiada sifat kemanusiaan. Mereka mendedahkah sendiri operasi mereka menyasarkan serangan kepada kanak-kanak, wanita, bayi dan orang tua. Mereka juga menyasarkan serangan kepada masjid, hospital, rumah orang awam, sekolah dan universiti.
Hal ini memberikan tekanan kepada orang Islam dan masyarakat antarabangsa untuk lebih bersatu-padu menyalahkan rejim Zionis dan menyokong pembebasan Palestin. Bukan hanya pembebasan Gaza sahaja tetapi seluruh Palestin dan ia telah pun terbukti pada persidangan PBB baru-baru ini. Dalam hal ini, kesatuan masyarakat dunia untuk melaksanakan kempen boikot juga turut meningkat dan semakin berkesan bagi menekan syarikat-syarikat berkaitan bagi menghentikan sokongan kepada rejim Zionis daripada pelbagai bentuk. Terbaru, pada 26 November, BDS antarabangsa telah mengumumkan Syarikat PUMA bukan lagi dalam senarai sasaran boikot kerana telah hentikan kontraknya dengan rejim Zionis.
Manakala daripada sudut ketenteraan pula, rejim Zionis sehingga hari ini menerima tamparan kuat daripada Gaza. Mereka tidak dapat mencapai apa-apa objektif strategi dan ketenteraan sepanjang tempoh setahun satu bulan. Dalam masa yang sama, mereka juga tidak mampu memberikan jaminan keselamatan kepada askar-askar yang berkhidmat sehingga ramai yang menarik diri, tolak tawaran, hadapi masalah mental seperti PTSD, bunuh diri dan lebih 12,000 cacat kekal serta cedera. Perkara yang sama di selatan Lubnan, rejim Zionis dilihat sebagai pihak kalah dengan Hizbullah kerana tidak mencapai apa-apa objektif sehingga gencatan senjata yang diumumkan baru-baru ini.
Daripada butiran yang diberikan, rejim Zionis sudah menjadi sebuah negara yang tidak bermaruah dan tidak dihormati daripada sudut politik global, masyarakat antarabangsa dan ketenteraan. Mereka hakikatnya tidak mempunyai pilihan melainkan hentikan serangan ke atas Gaza dan benarkan kemasukan bantuan atau menuju kekalahan mutlak lebih pantas daripada yang disebutkan Syaikh Ahmad Yasin tentang lenyapnya entiti Zionis pada tahun 2027.