Kembali

Tentera Zionis Hampir Menuju Kemusnahan Dan Kekalahan Mutlak, Ramai Yang Alami Masalah Mental Dan Bunuh Diri

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Nov 22, 2024

Tentera Zionis Hampir Menuju Kemusnahan Dan Kekalahan Mutlak, Ramai Yang Alami Masalah Mental Dan Bunuh Diri

Dua minggu ini di utara Gaza telah menyaksikan lebih 20 kereta kebal, kereta pengangkut dan jentolak rejim Zionis sama ada di Jabalia, Beit Lahiya dan Bandar Gaza telah musnah. Bukan itu sahaja, baru-baru ini sebuah pasukan tentera pejalan kaki sejumlah 12 orang pun disasarkan di Beit Lahiya dengan letupan peluru  RPG 105 dan di daerah yang sama juga lebih lima orang anggota tentera menjadi sasaran penembak tepat oleh pejuang-pejuang di sana.

Ekoran itu, dalam operasi terbaru di Jabalia pada 17 November, didedahkan sebuah video seorang pemuda berdiri dan berucap sebelum memulakan operasi. Beliau menegaskan walaupun jarinya dalam keadaan cedera, beliau tetap akan meletakkan bom yang dipegang beliau untuk disasarkan ke arah sebuah kereta kebal.

Seterusnya pada 20 November di Beit Lahiya, sekumpulan tentera pejalan kaki berjumlah empat orang menuju masuk ke dalam sebuah bangunan. Belum sempat mereka masuk ke dalam bangunan di hadapan mereka, peluru-peluru raifal daripada pihak pejuang mula menyasarkan mereka. Keempat-empat dalam kalangan mereka terduduk kaku di hadapan bangunan terbabit dan mencari-cari dari arah manakah tembakan dilepaskan. Mereka terpinga-pinga, ketakutan dan kebingungan kerana seolah-olah tembakan dilepaskan bertubi-tubi daripada semua arah.

Semalam, 22 November dilaporan tentera Muslimin berjaya menumbangkan seramai 15 orang di Beit Lahiya dalam jarak sifar!

Gambar di bawah tangkap layar mangsa ditembak bertubi-tubi di Beit Lahiya

Jumlah Kematian Dan Kecederaan Amat Tinggi

Berapa jumlah tentera musuh yang dikenal pasti terbunuh dan alami kecederaan dalam November ini di utara Gaza tidak diumumkan secara rasmi oleh kerajaan. Tetapi berasaskan rakaman dan laporan daripada pihak pejuang memberi isyarat bahawa jumlahnya amat tinggi.

Sebuah kereta pengangkut Namer yang disasarkan oleh RPG Yasin atau  bom al-Syuaz memberikan potensi untuk membunuh dan mencederakan paling tinggi lapan sehingga 12 orang penumpang. Sebagai contoh dilaporkan lapan penumpang terbunuh dalam sebuah kereta pengangkut Namer akibat serangan peluru RPG 105 di Tal al-Sultan.

Sementara itu, serangan RPG Yasin atau  bom al-Syuaz terhadap kereta kebal Merkava-4 pula mampu memberikan potensi untuk membunuh atau mencederakan sekurang-kurangnya empat sehingga enam orang dan salah seorang mangsa daripada operasi serangan terbabit ialah Ehsan Dexa, ketua Briged Kenderaan Berperisai 401 yang terbunuh apabila bom al-Syuaz meletup di bawah kereta kebalnya.

Tambahan daripada itu yang terbaru pada 14 November, pihak tentera mengumumkan akan menambah 600 kubur baru untuk askar yang gugur dan ditempatkan di tanah perkuburan tentera Gunung Herzl di Baitulmaqdis.

Gambar di bawah sebuah Merkava-4 hangus terbakar disebabkan serangan bom al-Syuaz.


Ramai Askar Zionis Akui Alami Masalah Mental, Tentera Hanya Jadi Sasaran Mudah Di Medan Pertempuran

Apa yang berlaku di utara Gaza bukanlah baru dan ia berlaku hampir setiap hari sepanjang lebih setahun operasi dalam Gaza. CNN dan sebuah pasukan penyelidik Amerika Syarikat mengesahkan tidak ada satu pun kawasan yang pejuang Gaza telah dilumpuhkan sepenuhnya bahkan banyak kawasan lebih ramai askar berjaya direkrut.

Sebahagian penganalisis menyatakan selagi tentera Zionis menerima serangan daripada pejuang dalam Gaza selagi itulah menunjukkan pejuang-pejuang di Gaza belum berjaya dilumpuhkan. Pihak pejuang Gaza hanya ambil masa 15 minit sahaja untuk kembalikan kekuatannya selepas ia diceroboh pihak Zionis.

Yinon Shalom Yitzhak pada 27 Oktober 2024, seorang penganalisis ketenteraan di sebuah syarikat berita berbahasa Hebrew Saluran 24 berkaitan kerumitan pertempuran di Jabalia, “Pasukan tentera menghadapi tentangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kerana penduduk tempatan Jabalia enggan mengosongkan daerah berkenaan”.

“Pencerobohan kali ini merupakan kali ketiga, tetapi daerah itu masih penuh dengan senjata IED dan periuk api. Selok-beloknya yang kompleks menjadikannya cabaran utama bagi pasukan tentera, kerana mereka sentiasa di bawah pemerhatian pejuang Palestin yang mampu menyasarkan serangan dengan tepat.”

Walaupun daripada sudut ketenteraan dan strategi pihak Zionis terus mencapai kegagalan, mereka masih meneruskan operasi darat dalam Gaza dan selatan Lubnan. Hal ini mengakibatkan ramai dalam kalangan tentera mengalami pelbagai kesan buruk antaranya tekanan mental.

Pada 20 Oktober, majalah Ha-Makom menjelaskan semakin ramai askar Israel secara senyap-senyap menolak arahan untuk kembali ke Gaza untuk berperang disebabkan mereka tertekan, letih, masalah psikologi dan tidak bermotivasi.

Majalah berkenaan mendapatkan dapatan tersebut selepas mereka mengadakan temu bual bersama 20 orang tentera bersama-sama ibu bapa mereka. Mereka mendapati juga apabila sebuah platun daripada Briged Nahal memerintahkan untuk masuk semula ke dalam Gaza, hanya enam orang sahaja melaporkan diri.

Salah seorang ibu kepada tentera menyatakan, “Setiap anggota tentera yang tidak mati atau cedera alami masalah mental. Hanya tinggal sedikit yang kembali untuk berjuang, itu pun dalam keadaan minda yang tidak sihat sepenuhnya.

Salah seorang daripada tentera juga beritahu bahawa, dalam kalangan mereka sentiasa ada yang menarik diri daripada pertempuran. Tetapi ia bukanlah disebabkan keinsafan atau simpati terhadap penduduk Palestin, tetapi disebabkan keletihan minda (burnout).

Kata seorang tentera, “Saya merasakan bahawa perang ini berterusan menjadi perang sia-sia. Perang sia-sia yang tidak berkesudahan”.

Dalam pada itu, salah seorang tentera pula menyatakan, “Kami seperti itik duduk di banjaran. Kami tidak faham apa yang kami lakukan di sini (Gaza). Tawanan warga Israel tidak kembali kepada kami, dan anda lihat perang ini tidak berkesudahan, dan lebih ramai askar cedera dan mati pada saat ini.”

Gambar di bawah dilaporkan operasi al-Qassam menggugurkan seramai 10 anggota tentera Zionis.

Lebih Ramai Bunuh Diri

Setakat ini tidak dilaporkan jumlah sebenar anggota tentera yang telah bunuh diri, tetapi laporan-laporan yang telah didedahkan menunjukkan sesuatu yang membimbangkan akibat tekanan mental yang dihadapi.

Menurut CNN, “Ribuan anggota tentera menghidap PTSD atau penyakit mental disebabkan oleh trauma semasa perang. Tidak jelas berapa ramai yang telah mengambil nyawa mereka sendiri”

Salah seorang daripada mereka ialah Eliran Mizrahi yang merupakan bekas anggota tentera yang meninggal pada Jun lalu. Lelaki ini pernah berkhidmat sebagai pemandu jengkaut dan jentolak yang bertanggungjawab memusnahkan lebih 5,000 rumah dan memuat naik jenayahnya itu di media sosial tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Apabila ditanya adakah mereka tahu setiap rumah yang dimusnahkan itu adalah rumah pengganas. Jawab Mizrahi setiap rumah merupakan rumah pengganas.

Belum sempat dihukum di alam akhirat akibat jenayahnya di Gaza,  Eliran Mizrahi alami gangguan mental sehingga tidak mampu makan, tidur pada waktu malam dan bunyi letupan sentiasa membingit di telinganya. Tidak syak lagi bahawa Mizrahi ditimpa penyakit PTSD selepas tamat perkhidmatannya di Gaza.

Menurut CNN berkenaan keadaannya, “dia keluar dari Gaza, tetapi Gaza tidak keluar dari mindanyanya”

Menurut Zaken, rakan Mizrahi kepada CNN, “Kami melihat perkara yang sangat, sangat, sangat sukar untuk diterima”.

Walaubagaimanapun, si penjenayah Mizrahi tetap diarah untuk kembali bertugas dan arahan tersebut disambut dengan persetujuan walaupun masih menghidapi PTSD. Selepas dua hari, Mizrahi mengambil langkah bunuh diri. Bukan kerana simpati kepada penduduk Palestin, tetapi kerana mindanya telah penat membunuh anak-anak Palestin dan merobohkan ribuan rumah penduduk Palestin.

Ekoran itu, laporan berkenaan kes bunuh diri juga dalam kalangan anggota tentera Zionis juga ialah seorang juruterbang pesawat udara tentera pada 5 Mei. Tentera berkenaan bernama Major Asaf Dagan dipanggil untuk berkhidmat. Dalam perjalanan Major Asaf ke pengkalan tentera, dia dipercayai membunuh diri dalam sebuah hutan berdekatan Atlit. Haaretz melaporkan 10 anggota tentera telah bunuh diri sejak 7 Oktober 2023, tetapi angka sebenar disembunyikan oleh pihak kerajaan.

Sekiranya tentera-tentera yang terbunuh dan tercedera dalam Gaza dan selatan Lubnan tidak diiktiraf oleh kerajaan mereka untuk jaga air muka, mereka yang terbunuh disebabkan bunuh diri lebih-lebih lagi tidak akan didedahkan bilangannya dan tidak diiktiraf.

Pertempuran Belum Tamat

Ramai yang anggap penghujung pertempuran pada pusingan kali ini telah tiba. Ia peperangan terlama dalam sejarah Palestin bagi kedua-dua pihak sama ada penduduk Palestin dan penjajah. Walau bagaimanapun berdasarkan keadaan di lapangan, pihak Palestin belum kalah dan pihak penjajah belum menang. Bahkan pihak Zionis tidak mencapai apa-apa objektif ketenteraan dan strategi sepanjang operasi di Gaza dan selatan Lubnan.

Bukan itu sahaja, ketika ini hampir seluruh dunia menyokong Palestin tanpa mengira agama, bahasa dan bangsa manakala rejim Zionis dilihat sebagai sebuah entiti penjenayah yang hanya menunggu kehancurannya.

Seperti kerajaan-kerajaan Firaun yang melakukan kerosakan selama beratus-ratus tahun pada akhirnya lenyap juga disebabkan perbuatan mereka, seperti itu jua pengakhiran bagi entiti Zionis ini yang akan lenyap disebabkan kerosakan yang mereka lakukan kepada penduduk Palestin.

Firman Allah SWT:

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. (Surah al-Israa’: 7)

Menurut Syaikh Solah al-Khalidi, ayat di atas diturunkan boleh dikaitkan kehancuran dan kekalahan pihak Zionis  sesuai dengan kerosakan dan jenayah yang mereka lakukan sepanjang mereka berkuasa di ata bumi Palestin.”

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif