Tentera Zionis Tiada Harapan Menang di Gaza: Menurut Data dan Analisis Ketenteraan

Oct 13, 2024

Israel sering mendakwa mereka semakin hampir dengan kemenangan di Gaza. Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Netanyahu beberapa kali dalam ucapannya. Namun, data-data lapangan di Gaza menunjukkan sesuatu yang cukup berbeza.

Setelah lebih 10 bulan Semenanjung Gaza diserang dengan begitu teruk oleh pihak tentera rejim Zionis, pada 3 September 2024, media Israel bernama Saluran 13 mendedahkan bahawa Hamas berjaya untuk mengembalikan kekuatannya dan selesai merekrut seramai 3,000 orang tentera baru di utara Gaza.

Maklum diketahui bahawa utara Gaza merupakan beberapa kawasan yang telah diceroboh banyak kali oleh rejim Zionis dengan menggunakan pasukan darat selepas mengebom seteruk-teruknya di kawasan-kawasan yang disasarkan.

Namun data menunjukkan tiada satu pun kawasan di utara Gaza yang ditawan sepenuhnya oleh pasukan tentera rejim Zionis.

Sebagai contoh Tal al-Hawa yang telah diceroboh lebih lima kali, tetapi rejim Zionis tetap gagal. Begitu jugalah seperti di Bandar Gaza, Hay al-Zaytun, Jabalia dan seumpamanya.

Sehubungan dengan itu, pada 3 September 2024, Haaretz melaporkan sebuah artikel bertajuk “Bukan Hamas yang semakin lenyap, tetapi Israel”. Artikel tersebut mendedahkan kenyataan daripada bekas tentera Zionis yang menekankan bahawa Israel tidak mempunyai jalan lain melainkan keluar daripada Gaza dan terima syarat-syarat oleh Hamas dalam rundingan pertukaran tawanan.

Menurut beliau lagi, sekiranya tentera Zionis masih mahu meneruskan pencerobohan, ia akan menjadi beban besar kepada pihak rejim Zionis berbanding Hamas.

Seterusnya, keadaan ini menyebabkan tentera Zionis pula dikuasai oleh Hamas disebabkan kekuatan Hamas sama ada di bawah tanah atau di atas tanah pada masa hadapan.

Sementara itu, menurut laporan CNN dan American Enterprise Institute’s Critical Threat Project (CTP), pada 5 Ogos 2024 mendedahkan beberapa data penting berkenaan keadaan kekuatan Hamas di Gaza.

Antaranya, separuh daripada kekuatan tentera Hamas di utara dan tengah Gaza semakin bertambah. Kekuatan yang dimaksudkan di sini ialah pertambahan jumlah tentera dan kejayaan operasi-operasi ketenteraan Hamas bagi menahan kemaraan pencerobohan pihak rejim Zionis.

Laporan tersebut turut mendedahkan pasukan-pasukan tentera Hamas mampu kembali beroperasi semula walaupun di kawasan-kawasan yang telah menjadi sasaran pengeboman daripada pesawat-pesawat udara.

Kata pengurus CTP, Brian Carter, “Israel boleh katakan mereka telah ‘membersihkan’ satu kawasan, tetapi mereka tidak ‘bersihkan’ sepenuhnya, kerana mereka langsung tidak mengalahkan pejuang-pejuang Gaza” Menurut beliau lagi, “Hamas bersedia untuk berperang dan mahu berperang”.

Bertitik tolak dengan kenyataan di atas, ia disokong oleh seorang askar bersara Amerika Syarikat, Peter Mansoor melalui kenyataan kepada CNN, “Sekiranya batalion Hamas telah dikalahkan, Israel tidak perlu lagi berlawan di Gaza”.

Menurut beliau lagi, “Fakta yang menunjukkan mereka masih berada di Gaza untuk mengalahkan Hamas telah menunjukkan bahawa Netanyahu salah”.

Bersangkutan dengan hal ini, laporan CNN turut mendedahkan disebabkan keganasan rejim Zionis dalam usaha menyerang hampir semua orang dan prasarana di Semenanjung Gaza mendorong penduduk Gaza menjadi marah dan lebih ramai mahu menyertai Hamas untuk membalas dendam ke atas pasukan darat Zionis dalam Gaza.

Lanjutan itu, untuk Hamas tiada masalah langsung untuk merekrut tentera baru bagi menyertai operasi ketenteraan.

Tidak syak lagi keadaan kekuatan Hamas seperti yang didedahkan di atas disanggah oleh rejim Zionis. Pejabat Perdana Menteri Israel mengeluarkan kenyataan kepada CNN mendakwa mereka telah membunuh seramai 15,000-17,000 askar Hamas, melumpuhkan ribuan daripada mereka dan menangkap seramai 4,500 orang.

Kenyataan di atas tidak dapat dipastikan kebenarannya. Hal ini kerana selama 10 bulan ini menunjukkan rejim Zionis mengebom seluruh kawasan di Gaza termasuk hospital, sekolah, khemah-khemah pelarian dan kawasan permainan.

Bermakna semua orang di Gaza telah menjadi sasaran serangan Zionis termasuk kanak-kanak dan wanita, mustahil mereka mampu bezakan antara anggota Hamas dan rakyat biasa yang disasarkan.

Menyedari penerangan yang diberikan, lebih afdal untuk terus berharap dan berdoa akan kemenangan umat Islam di Gaza. Ini lebih baik daripada mengaku kalah dan berasa lemah. Palestin bukanlah milik orang Palestin sahaja, tetapi milik umat Islam.

Oleh itu, perjuangan untuk membebaskan Palestin  bukan di tangan pejuang-pejuangnya sahaja, tetapi di tangan kita juga sama ada melalui akademik, duit, doa dan sebagainya.