Kembali

Trump dan Legasi Perjanjian Abraham

Nadia Amira binti Shamsul

Nov 18, 2024

Secara rasminya Donald Trump telah memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat dan akan menggantikan Presiden Joe Biden mulai Januari 2025. Trump berjaya mengalahkan calon presiden dari Parti Demokrat, Kamala Harris dengan 312 undi berbanding 226 undi.

Kemenangan besar Trump adalah ekoran kegagalan Kamala Harris untuk meraih undi daripada negeri-negeri ‘swing state’ yang kesemuanya jatuh ke tangan Republikan. Harris dan Demokrat juga gagal untuk ‘mencuri hati’ pengundi Muslim di Amerika Syarikat apabila sejumlah besar mengalihkan undi mereka kepada Jill Stein, calon daripada ‘Green Party’ sebagai protes ke atas kegagalan pentadbiran Biden-Harris menamatkan genosid di Gaza.

Kini timbul persoalan, ke manakah hala tuju genosid di Gaza di bawah pentadbiran baharu Amerika Syarikat? Pada bulan Jun yang lalu, Trump keras mengkritik Biden kerana tidak membiarkan Israel untuk ‘finish the job’ tanpa sebarang halangan dan kekangan (Egypt Today 2024). Adakah ini memberi makna kepulangan Trump ke Rumah Putih akan memberikan kebebasan dan ‘absolute power’ kepada negara haram Zionis dan Netanyahu untuk berbuat apa sahaja di Gaza?

Ketika menjawat jawatan Presiden buat kali pertama pada tahun 2017, Trump telah membuktikan bahawa beliau adalah penyokong setia negara haram Zionis. Bahkan majoriti penyokong dan pelobi parti Republikan itu sendiri terdiri daripada ‘evangelical Christian’ atau pun golongan Kristian-Zionis (McGreal 2023). Justeru itu, tidak hairanlah polisi luar negara Trump amat menyebelahi dan memberikan manfaat kepada negara haram Zionis.

Antara legasi Trump semasa pemerintahan sebelum ini ialah memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis (Usher 2018), satu tindakan yang dikecam dunia kerana secara tidak langsung mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Pada waktu yang sama, pentadbiran Trump turut mengisytiharkan kedaulatan negara haram Zionis ke atas Bukit Golan, wilayah Syria yang ia rampas pada tahun 1967 (Harian Metro 2019), menutup konsulat AS di Timur Baitulmaqdis yang menguruskan hubungan dengan Pihak Berkuasa Palestin (Al Jazeera 2019), serta mencadangkan pelan damai “Peace to Prosperity: A Vision to Improve the Lives of the Palestinian and Israeli People" tanpa berbincang dengan wakil Palestin. Pelan tersebut memberi ruang kepada negara haram Zionis untuk menguasai 85% daripada Tebing Barat berbanding hanya 15% untuk Palestin. Wilayah milik Palestin bukan sahaja dikecilkan bahkan dikelilingi dengan wilayah Israel (Al Jazeera 2020). Kesemua tindakan ini amat disenangi oleh Netanyahu sehinggakan wajah Trump dipamerkan di papan-papan iklan gergasi di sekitar negara haram Israel dalam kempen politik Netanyahu pada tahun 2019 sekaligus mempamerkan keakraban dua pemimpin tersebut (Heller 2019).

Namun, legasi Trump yang paling besar ialah kejayaan mengumpan negara-negara Arab untuk mengkhianati perjuangan kemerdekaan Palestin dengan menormalisasi hubungan dan menerima Israel sebagai sebahagian daripada Timur Tengah melalui Perjanjian Abraham (Abraham Accords). Perjanjian ini berisiko memadamkan seluruh perjuangan rakyat Palestin. Inilah antara sebab mengapa Hamas dan kumpulan-kumpulan pejuang di Gaza melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023.

Netanyahu sudah lama bercita-cita untuk menjalin hubungan normal dengan negara-negara Arab khususnya negara-negara Arab Teluk yang kaya. Namun, isu Palestin sentiasa menjadi batu penghalang. Apalagi negara-negara Arab ini mempunyai kesepakatan melalui Inisiatif Keamanan Arab 2002 (Arab Peace Initiative) yang menegaskan bahawa hubungan dengan Israel hanya akan terjalin selepas isu Palestin diselesaikan. Perjanjian Abraham mengangkat sekatan ini dan memberikan jalan keluar kepada Netanyahu untuk menjayakan cita-citanya tanpa perlu berunding soal Palestin.

Abraham Accords adalah sebuah perjanjian persefahaman bagi mewujudkan hubungan normalisasi di antara negara haram Israel dengan beberapa buah negara Arab. Negara yang telah menandatangani perjanjian ini ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan. Penggunaan nama ‘Abraham’ dalam perjanjian ini adalah simbolik kepada persaudaraan kaum Yahudi dan Arab yang berkongsi nenek moyang yang sama iaitu Nabi Ibrahim alaihissalam (Zeidan 2024).

Perjanjian Abraham telah mengubah dinamik hubungan antara negara haram Israel dan juga negara-negara Arab serta mengubah pendekatan dunia terhadap konflik Arab-Israel. UAE menjustifikasikan tindakan normalisasi mereka dengan mengatakan melalui cara ini Israel akan menghentikan rancangan untuk mengilhak sebahagian kawasan Tebing Barat yang telah kuasai. Hubungan normalisasi ini juga akan memberikan UAE lebih banyak pengaruh untuk membela rakyat Palestin.

Realitinya, UAE sebenarnya mempunyai motivasi dan kepentingan tersendiri untuk menjalin hubungan normalisasi dengan negara haram Israel. Sebagai ganjaran kepada hubungan tersebut, Trump telah meluluskan penjualan 50 jet pejuang F-35 kepada UAE. Sebelum ini penjualan tersebut terhalang demi menjaga kelebihan ketenteraan negara haram Israel.

Dengan kata lain, alasan yang diberikan oleh UAE adalah permulaan kepada negara-negara Arab untuk lebih cenderung meninggalkan isu Palestin apabila wujud tawaran yang menguntungkan kepentingan negara masing-masing (Zeidan 2024). Buktinya, selepas UAE, Bahrain, Maghribi dan Sudan juga membuat keputusan sama untuk menormalisasikan hubungannya dengan negara haram Israel. Sebagai habuan kerana bersetuju menandatangani Perjanjian Abraham, AS menjadi negara pertama yang mengiktiraf tuntutan Maghribi ke atas Sahara Barat (Zeidan 2024).

Inilah legasi yang ditinggalkan Trump ketika menjawat jawatan sebagai Presiden dari 2017-2020. Trump telah bertindak sebagai broker yang cemerlang untuk memudahkan urusan Israel dan Netanyahu melebarkan pengaruh di peringkat serantau sekaligus memalapkan api perjuangan penduduk Palestin selepas dipinggirkan oleh negara-negara Arab sendiri. Tambahan, segala tindakan yang diambil oleh Trump tidak dibatalkan oleh Biden. Bahkan, Biden telah menyambung legasi Trump sebelum ini (Aftandilian 2023).

Kemenangan Trump adalah khabar buruk buat rakyat Palestin. Dasar Trump dipercayai akan lebih teruk, lebih ekstrim dan lebih berpihak kepada Israel. Trump sendiri mengaku bahawa beliau adalah ‘Presiden AS paling pro-Israel dalam sejarah’ (Gilboa 2020). Barisan kabinet Trump juga hampir pasti akan dipenuhi oleh golongan Kristian Zionis yang mahu melihat Israel terus terpelihara.

Lihat sahaja bagaimana menteri-menteri Israel bersorak gembira dengan kemenangan Trump sehingga Bezalel Smotrich mengeluarkan kenyataan terbuka untuk mengilhak tanah-tanah di Tebing Barat dengan sokongan Trump. Hati Netanyahu juga pasti sedang berbunga-bunga mahu menjalin hubungan normalisasi dengan Arab Saudi tanpa terlalu risau akan dihukum akibat jenayah genosid yang beliau lakukan.