Ulasan 300 Hari Taufan al-Aqsa

Oct 13, 2024

Sama ada kita sedar atau tidak, Taufan al-aqsa menghampiri 300 hari sejak ia tercetus pada 7 Oktober 2023. Ia bukan sesuatu boleh dibanggakan jika melihat jumlah kecederaan dan kematian mencecah 100,000 orang sehingga kini akibat serangan tentera Israel.

Ditambah pula kemusnahan kediaman, infrastruktur dan kemudahan lain menyebabkan sekitar dua juta penduduk di Semenanjung Gaza menjadi pelarian. Namun, bukan semuanya berita buruk dan menyedihkan sahaja.

Taufan al-aqsa adalah isu peperangan dan tentera rejim Zionis masih meneruskan kekejaman mereka ke atas penduduk Palestin tanpa mengira umur atau jantina. Sekolah, hospital dan kem pelarian menjadi sasaran pengeboman tanpa henti.

Namun, siri serangan secara intensif ini tidak pernah berlaku pada tempoh panjang seperti ini dan ditambah pula serangan balas hebat daripada pejuang Hamas.

Kesannya, rejim Zionis mengakui mereka menghadapi kekurangan kereta kebal dan peluru sehingga memaksa semula golongan ultra-orthodox Yahudi menyertai semula ketenteraan bagi berkhidmat dalam Gaza sebelum ini terkecuali daripada khidmat wajib sejak 1948.

Dari sudut politik, 300 hari Taufan al-aqsa membuktikan negara Arab yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel bukan sahaja tidak membantu Palestin bahkan membantu entiti Zionis dari pelbagai sudut.

Bagaimanapun, dari satu sudut lain, dapat dilihat wujud gelombang sokongan besar dari Eropah untuk mengiktiraf kedaulatan Palestin. Terbaru, Norway, Sepanyol dan Ireland secara rasmi mengiktiraf Palestin.

Selain itu, ada kumpulan negara masih dalam pertimbangan mengiktiraf kedaulatan Palestin seperti Perancis, Malta, Slovenia dan Jepun.

Calon Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris, baru-baru ini menyebutkan azam beliau untuk menghentikan pembunuhan di Gaza dan membantu penduduk di sana.

Pada masa kini, keadaan sosial penduduk Yahudi dalam di wilayah diduduki Israel amat tidak stabil. Lebih 500,000 penceroboh Yahudi dilaporkan meninggalkan Israel selama-lamanya.

Selain itu, sekitar 250,000 penceroboh Yahudi masih tinggal di tempat perlindungan, rumah saudara-mara, hotel dan sebagainya disebabkan tempat tinggal mereka tidak selamat dihuni.

Kira-kira satu pertiga atau 32.9 peratus anak-anak muda Yahudi tidak mahu untuk berkhidmat dalam ketenteraan disebabkan kurangnya semangat patriotik dalam jiwa mereka. Terakhir, hampir setiap minggu berlaku demonstrasi besar-besaran di Tel Aviv menekan kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menghentikan peperangan dan mengembalikan tawanan Palestin.

Kesimpulannya, Taufan al-aqsa memberikan tamparan kuat kepada zionis dan sekutu-sekutunya atas jenayah dilakukan ke atas penduduk Palestin. Fakta diberikan menunjukkan Zionis ‘kehausan’ pelbagai sumber kekuatan dan mereka sendiri mengakui pejuang Palestin tidak akan dikalahkan.

Apatah lagi kini Israel masih berdegil walaupun berdepan hukuman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan pendudukan Israel selama beberapa dekad di wilayah Palestin tidak sah di sisi undang-undang dan perlu dihentikan segera.