Waran Tangkap Netanyahu: Gimik Atau Tekad Baru ICC?

Oct 13, 2024

Gempar seluruh dunia selepas Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan memohon waran tangkap ke atas Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel dan Yoav Gallant, Menteri Pertahanan Israel.

Ini kali pertama seorang pendakwa raya ICC mengambil tindakan berani ke atas pemimpin negara yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat (US) itu. Apalagi selepas beliau diancam secara terang-terangan oleh 12 orang senator dari Parti Republikan di US: “Jika kau sasar Israel, kami akan sasar kau, rakan sekerja kau dan seluruh ahli keluarga engkau dan mereka!”

Jujur saya katakan, ketika Khan dilantik menjawat jawatan Ketua Pendakwa Raya ICC menggantikan Fatou Bensouda, saya tidak yakin beliau akan berani lakukan apa yang beliau lakukan hari ini. Ini selepas beliau dilihat endah tak endah untuk meneruskan siasatan terhadap situasi di Palestin yang telah pun dibuka oleh Bensouda.

Ketika banyak pihak berharap beliau akan meneruskan legasi Bensouda, beliau sebaliknya mengecilkan belanjawan untuk pasukan yang menguruskan kes di Palestin. Beliau juga langsung tidak menunjukkan minat untuk pergi ke Palestin untuk melihat sendiri keadaan di sana. Beliau lebih cenderung untuk memberi perhatian kepada perang di Ukraine.

Untuk perang di Ukraine, Khan lakukan 4 lawatan dalam tempoh kurang setahun, anjurkan berpuluh sidang media dan utus 42 orang pegawai penyiasat ke sana. Beliau juga lancar portal atas talian untuk orang ramai berkongsi bukti dan merayu sumbangan antarabangsa untuk menampung keperluan operasi siasatan. Badan sivil dan aktivis Palestin telah menuntut layanan yang sama ke atas kes mereka sejak awal-awal lagi tapi langsung tidak diendahkan.

Khan hanya mula menunjukkan sikap berbeza terhadap kes di Palestin selepas 7 Oktober. Selepas lebih 8,000 penduduk Gaza terbunuh dan selepas Gallant melabel rakyat Palestin sebagai ‘haiwan’, menutup semua akses makanan, air, elektrik dan internet di Gaza dan memulakan serangan darat ke atas Gaza, Khan muncul buat pertama kali di sempadan Rafah pada 29 Oktober untuk meninjau sendiri keadaan di Palestin.

Khan walau bagaimanapun terus dikritik selepas beliau dilihat memberi perhatian yang tidak seimbang di antara aduan yang dibuat oleh rakyat Israel dan rakyat Palestin. Khan segera menyambut permohonan keluarga tawanan Israel untuk bertemu dengan beliau di The Hague dan Israel tapi beliau hanya memperuntukkan 10 minit kepada keluarga mangsa serangan Israel yang beliau temui di sempadan Rafah.

Beliau juga sanggup meluangkan masa untuk menziarahi penempatan-penempatan Israel di pinggir Gaza yang diserang oleh H4m4s pada 7 Oktober tapi enggan menziarahi penempatan-penempatan haram dan pos-pos kawalan Zionis di Tebing Barat seperti yang diminta oleh rakyat Palestin. Justeru, tidak hairanlah kehadiran beliau di Ramallah pada awal Disember lalu diboikot oleh aktivis hak asasi manusia di Palestin.

Kini, selepas lebih 35,000 penduduk Gaza terkorban dan hampir 80% hilang tempat tinggal, beliau tampil bergaya di khalayak ramai untuk memohon waran tangkap ke atas dua orang pemimpin utama Israel - Netanyahu dan Gallant. 

Pada waktu yang sama, dalam usaha untuk dilihat adil dan saksama, dan bagi mengelak beliau dituduh sebagai anti-semitik, beliau turut memohon waran tangkap ke atas tiga orang pemimpin H4m4s - Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar dan Muhammad Deif.

Ketika ramai pihak memuji keberanian beliau, aktivis hak asasi manusia Palestin tetap mengecam ‘bothsidesism’ yang Khan tunjukkan. Bothsidesism ialah tindakan mengetengahkan sesuatu isu secara seimbang walaupun hakikat sebenarnya keseimbangan tersebut ialah kesimbangan yang menipu. Masakan penjajah dan mangsa penjajahan diletakkan di bawah pertimbangan yang sama?

Tempoh hari Khan memulakan sidang media beliau dengan mengumumkan waran tangkap ke atas pemimpin Hamas terlebih dahulu berbanding Netanyahu dan Gallant. Beliau juga cuba bermain-main dengan angka apabila mensasarkan lebih ramai pemimpin Hamas berbanding Israel dan menggariskan lebih banyak dakwaan ke atas Hamas berbanding Israel.

Generasi Pembebas Al-Aqsa (GenPAQ), [29/5/2024 6:43 PM]

Lebih memualkan Khan mengabaikan beberapa dakwaan yang telah pun jelas ke atas Israel. Tiada dakwaan terhadap penyiksaan ke atas tahanan Palestin. Tiada dakwaan ke atas penempatan haram Zionis di Tebing Barat. Tiada dakwaan ke atas jenayah pendatang haram Zionis di Tebing Barat yang sudah pun dikenakan sekatan oleh US, UK dan beberapa negara Eropah. Dan tiada dakwaan ke atas jenayah genosid rejim tersebut di Gaza!

Tak dapat dipastikan bilakah permohonan waran tangkap ini akan diluluskan. Dalam kes Ukraine, waran tangkap ke atas Vladimir Putin hanya diluluskan setahun selepas permohonan. 

Tak wujud juga tanda-tanda waran tangkap ini akan diluluskan dengan kadar segera kerana US dilihat berubah nada selepas permohonan waran tangkap ini dikeluarkan. Sebelumnya Biden telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang jelas menggambarkan ketegangan hubungan US-Israel. Tetapi beliau segera mempertahankan Netanyahu dalam hal ini.

Pembangkang di Israel dan seteru politik Netanyahu juga pantas mempertahankan beliau walaupun mereka ketika ini lantang mendesak Netanyahu supaya meletak jawatan dan memanggil pilihan raya yang baru. Mereka nampaknya melihat dakwaan ke atas Netanyahu tidak sekadar dakwaan ke atas batang tubuh beliau semata-mata tetapi ke atas institusi Perdana Menteri dan kepimpinan negara itu.

Sekiranya waran tangkap tersebut diluluskan sekalipun, tiada jaminan Netanyahu dan Gallant akan dengan rela hati menyerahkan diri mereka untuk dibicarakan. US yang tidak meratifikasi ICC hampir pasti akan melindungi mereka berdua. Walau bagaimanapun, tiada jaminan juga mereka tidak akan ditangkap sekiranya mereka mendarat ke 124 negara yang mengiktiraf ICC termasuk Jerman, Perancis dan UK.

Apa pun keputusan permohonan waran tangkap ini, ia sebenarnya telah pun merobek seluas-luasnya reputasi Netanyahu. Ia hampir pasti ini akan menjadi salah satu punca yang akan menamatkan karier politik beliau. 

Reputasi Israel sebagai sebuah demokrasi yang dipuja-puja di barat juga semakin tercalar. Tiada jaminan Israel akan menerima layanan yang sama daripada negara-negara lain seperti sebelum ini sekiranya ia terus melindungi pemimpin mereka yang dikehendaki oleh ICC.

Dengan kata lain, sekiranya permohonan ini adalah sekadar sebuah gimik politik, ia telah pun mencapai matlamatnya. Namun, yang kita semua mahukan pastinya bukan sekadar tekanan politik yang terhasil tetapi tindakan undang-undang yang selayaknya ke atas penjenayah perang seperti Netanyahu dan Gallant. 

Fungsi ICC ialah melaksanakan undang-undang antarabangsa yang telah pun disepakati; bukan menjadi alat permainan politik antarabangsa.